Padah tipu berjaya takluk Gunung Everest

Narender Singh Yadav
Narender Singh Yadav
A
A
A

KATHMANDU - Kerajaan Nepal mengambil tindakan tegas dengan membatalkan sijil mengiktiraf kejayaan dua pendaki India menakluk Gunung Everest pada tahun 2016 setelah mereka didapati tidak pernah mendakinya.

Malah, dua pendaki itu, Narender Singh Yadav dan Seema Rani Goswami serta pasukan pendakian mereka dilarang mendaki gunung paling tinggi di dunia tersebut selama enam tahun setelah membuat pengakuan palsu kepada kerajaan Nepal.

Kedua-dua mereka sebelum ini mendakwa berjaya mendaki Gunung Everest pada musim panas pada tahun 2016.

Jabatan Pelancongan Nepal kemudian mengiktiraf dakwaan mereka itu.

Bagaimanapun, kemarahan dalam kalangan pendaki India berlaku selepas Yadav disenaraikan untuk menerima Anugerah Pengembara Norgay Tenzing pada tahun lalu.

Everest setinggi 8,848 meter merupakan gunng yang paling tinggi di dunia. - Foto AFP
Everest setinggi 8,848 meter merupakan gunng yang paling tinggi di dunia. - Foto AFP

Ia kemudian menyebabkan satu siasatan dilakukan bagi menentukan kebenaran sama ada mereka benar-benar mendaki gunung tersebut.

Jurucakap Kementerian Pelancongan, Tara Nath Adhikari memberitahu AFP, siasatan dan pertanyaan dengan para pendaki lain menunjukkan mereka tidak pernah tiba di kemuncak gunung tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Mereka tidak dapat mengeluarkan sebarang bukti tentang pendakian ke puncak (gunung itu) malah gagal mengemukakan foto-foto berkaitan pendakian di puncak (Gunung Everet)," kata Adhikari.

Dua pendaki itu dan ketua pasukan kumpulan pendakian itu, Naba Kumar Phukon kemudian telah dilarang mendaki gunung tersebut selama enam tahun bermula pada bulan Mei 2016.

Syarikat Seven Summit Treks yang menganjurkan pendakian itu turut didenda AS$450 (RM1,819) dan seorang sherpa yang didakwa membantu mereka mendaki gunung tersebut didenda sebanyak AS$85 (RM343).

Gunung Everest itu adalah setinggi 8,848 meter. - Agensi