Rakyat tidak perlu bimbang divaksinasi

Muhammad Sanusi (kiri) menyerahkan dividen Ladang Sejahtera dan sumbangan kepada peserta, disaksikan Ku Abdul Rahman (kanan).
Muhammad Sanusi (kiri) menyerahkan dividen Ladang Sejahtera dan sumbangan kepada peserta, disaksikan Ku Abdul Rahman (kanan).
A
A
A

SIK - Rakyat Kedah tidak perlu bimbang untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech yang akan diagihkan menerusi Program Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana kerajaan telah melakukan penelitian rapi sebelum memilih jenis vaksin yang sesuai untuk kegunaan rakyat di negara ini.

Menurutnya, semua rakyat perlu bersedia dengan situasi ini untuk kebaikan bersama.

“Saya nasihatkan agar penduduk Kedah bersedia untuk divaksinasikan. Tidak perlu ragu-ragu kerana ulama sudah fatwakan vaksin dari segi hukum syarak adalah harus, dari segi kesihatan pula adalah suatu kewajipan untuk hadapi pandemik ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian dividen Ladang Sejahtera Keda Bendang Man, di Keda Agrobiz Charuk Tualang, pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Keda, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, rakyat perlu memberi sokongan kepada program suntikan ini susulan kerajaan telah memperuntukkan kos yang tinggi untuk menyediakan vaksin berkenaan.

“Saya bersedia untuk jadi kumpulan awal menerima suntikan vaksin Covid-19. Pemimpin perlu diberikan suntikan dahulu untuk membuktikan kepada rakyat bahawa vaksin itu selamat digunakan, kita tak mahu rakyat bimbang kononnya suntikan itu berisiko,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan Persekutuan sudah menentukan syarat penerima vaksin dan semua pihak harus akur, antaranya berumur 18 tahun ke atas, diberikan kepada petugas barisan hadapan sebagai kumpulan pertama serta sasaran 60 peratus rakyat diberikan vaksinasi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas trend penurunan kes Covid-19 di Kedah, Muhammad Sanusi berkata, ini kerana kebanyakan kes adalah kes import dan banduan transit, bukannya kes tempatan.

“Kluster paling banyak sekarang adalah kes dari tempat kerja, disebabkan itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilaksanakan banyak membantu Kedah menurunkan kes,” katanya.