MAIWP peruntuk RM2 juta bantu 4,000 mualaf

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tiga, kanan) menyampaikan sumbangan kepada Sharifah Noor Abdullah (dua, kanan) pada Majlis Sumbangan sempena Tahun Baru Cina 2021 kepada Mualaf anjuran (MAIWP) di Kompleks Islam Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tiga, kanan) menyampaikan sumbangan kepada Sharifah Noor Abdullah (dua, kanan) pada Majlis Sumbangan sempena Tahun Baru Cina 2021 kepada Mualaf anjuran (MAIWP) di Kompleks Islam Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM2 juta untuk bantuan tunai secara one-off RM500 seorang kepada 4,000 mualaf yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, selain bantuan wang tunai itu, setiap mualaf juga akan menerima bantuan pek makanan RM100 yang disumbangkan oleh agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

"Sumbangan kepada mualaf ini termasuk dalam Program Musa’adah Covid-19 dan usaha seperti ini akan kita kerapkan dari masa ke masa dengan pelbagai bentuk bantuan kepada pihak yang memerlukan," katanya kepada media selepas majlis sumbangan MAIWP dan pejabat menteri kepada saudara baru kaum Cina, di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, Zulkifli menyampaikan sumbangan pek makanan bernilai RM100 dan wang tunai RM500 kepada 12 mualaf Cina yang terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal, pesara dan kakitangan kerajaan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina, esok (Jumaat).

Hadir sama, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Akbar Samon dan Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Beliau berkata, sumbangan kepada mualaf itu akan selesai diagihkan secara berperingkat dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan siasatan ajaran Islam Melayu yang didakwa dibawa oleh 'Ibu Yati' atau nama sebenarnya Wan Noor Hayati Wan Alias, Zulkifli berkata, Jakim akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut.

"Kami akan teliti dengan sebaik mungkin dan dalam masa terdekat akan ada perbincangan secara serius (antara Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri).

Artikel Berkaitan:

"Ini (isu agama) di bawah bidang kuasa negeri, itu kita kena hormati, cuma bagi kita, kita akan ikut proses dalam mengenal pasti apa-apa isu yang terkait dengan ajaran tersebut," katanya. - Bernama