Kantoi kait duit masjid guna lidi

Azhan
Azhan
A
A
A

BATU PAHAT - Tindakan dua lelaki mencuri duit derma dalam tabung Masjid Al Faqih, Parit Raja, di sini, menggunakan lidi yang dibalut dengan gula-gula getah sebelum bertindak menjolok dan menarik keluar wang dalam tabung itu, berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, kes kecurian itu bukanlah kali pertama dan mendorong ahli jawatankuasa masjid melakukan intipan menerusi rakaman CCTV.

"Menerusi intipan CCTV itulah, ahli jawatankuasa masjid tersebut bertindak menangkap kedua-dua suspek yang berumur 41 dan 42 tahun," katanya.

Menurutnya, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu suspek telah mengeluarkan wang tunai berjumlah RM171 yang berada di dalam tabung tersebut sebelum wang berkenaan dirampas sebagai bukti.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan semakan rekod jenayah lampau juga mendapati suspek turut mempunyai rekod dadah sebelum ini.

"Kedua-dua suspek kemudian direman selama empat hari bermula 9 sehingga 12 Februari ini untuk membantu siasatan dan dengan tertangkapnya suspek ini, kami percaya dapat selesaikan beberapa kes kecurian duit tabung masjid di sekitar Ayer Hitam dan Parit Raja," katanya.



Artikel Berkaitan: