Bom tangan, pistol dan beratus peluru ditemui dalam kepala katil

Senjata dan peluru yang ditemui dalam kepala katil dalam sebuah rumah dua tingkat di Taman Bukit Indah, petang semalam.
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sebutir bom tangan, dua pucuk pistol dan 349 butir peluru ditemui di sebuah rumah di Taman Bukit Indah, di sini petang semalam.

Kesemua senjata dan bahan letupan itu ditemui disembunyikan dalam kepala katil dalam sebuah bilik di bahagian atas rumah dua tingkat berkenaan kira-kira jam 4.10 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemeriksaan itu dibuat susulan serbuan yang dilakukan pada Disember tahun lalu di rumah yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah.

Menurutnya, rumah berkenaan telah ditinggalkan oleh penyewanya kira-kira enam bulan sebelum serbuan dibuat.

"Pada 2 Disember polis telah melakukan pemeriksaan di rumah yang ditinggalkan penyewa kira-kira enam bulan dan berjaya menemui 20,470 pil ecstasy, 15 kilogram serbuk dipercayai kafien dan pelbagai peralatan memproses dadah.

"Susulan daripada penemuan itu, satu pemeriksaan dilakukan petang semalam dan menemui bom tangan yang masih aktif, dua pucuk pistol dan 349 butir peluru di dalam rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini tadi.

Nik Ros Azhan berkata, Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang (IPK) diarahkan ke lokasi kejadian bagi tindakan lanjut.

Katanya, kesemua barangan yang dijumpai dibawa ke Stor Simpanan Cawangan Persenjataan IPK untuk disimpan dan bom pula akan dimusnahkan esok.

Sementara itu Nik Ros Azhan berkata, pihaknya sedang mengesan seorang lelaki berusia 42 tahun yang mempunyai 16 rekod kesalahan berkaitan dadah bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.