Bisnes dan rasuah berjalan seiring?

Gambar hiasan. Gambar kecil: Datuk Akhbar Satar
Gambar hiasan. Gambar kecil: Datuk Akhbar Satar
A
A
A

ADA orang berkata bisnes dan rasuah berjalan seiring, benarkah?

Salah seorang ahli perniagaan yang tersohor dan juga salah seorang Ahli Lembaga Pencegah Rasuah Malaysia berpendapat kenyataan ini tidak benar, malah tidak dapat dipertahankan.

Di peringkat antarabangsa, adalah jelas di antara negara-negara yang mempunyai reputasi terbaik kerana amalan rasuah pada tahap minima.

Sebagai contoh New Zealand dan Sweden merupakan negara-negara yang paling kurang rasuah di dalam Indeks Persepsi Rasuah 2020 (CPI 2020) merupakan antara negara yang paling disenangi untuk menjalankan perniagaan.

Dalam persekitaran urus niaga negara-negara ini, bukan saja amalan ketelusan diutamakan, malah tahap kesedaran anti-rasuah juga berada pada tahap yang amat tinggi.

Negara-negara ini mempunyai ekonomi yang maju, mantap dan didukung institusi berwibawa yang bebas.

Apabila wujud tanggapan ‘bisnes dan rasuah berjalan seiring’ maka ia adalah petanda dan salah satu ciri ekonomi serta amalan perniagaan dalam negara yang sedang membangun di mana urus tadbir tidak sejajar dengan amalan baik di mana.

Kebanyakan negara negara ini terdiri daripada kedudukan CPI yang rendah dan tercorot termasuk Malaysia. Natijahnya, tiada siapa mahu melancong, apatah lagi melabur jika indeks rasuahnya teruk, sekali gus menjejaskan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Jenayah rasuah, atau bisnes dan rasuah seiring boleh berlaku di mana-mana sahaja. Sama ada oleh orang dalam sesebuah agensi atau organisasi sendiri ataupun ekoran kerjasama atau pembabitan pihak luar dan syarikat.

Apabila kerajaan memperkenalkan dasar penswastaan dan Malaysian Incorporated, penekanan diberikan kepada meningkatkan kerjasama sektor awam dan swasta untuk mempergiatkan lagi proses pembangunan negara.

Malangnya dasar ini disalahgunakan serta dieksploitasi, bersekongkol oleh kedua belah pihak termasuk ahli politik dan pegawai kanan kerajaan (penerima) dengan ahli perniagaan (pemberi) yang tiada integriti kerana ghairah hendak kaya cepat.

Rasuah dibayar untuk mendapatkan keistimewaan dan kelebihan demi mendapat keuntungan lebihan. Mereka merosakkan dasar kerajaan dan menyebabkan lahir segelintir menjadi kaya raya melalui pendapatan yang tidak halal.

Della Porta and Vannucci dalam kajian rasuah di Italy berpendapat bahawa Corrupt exchanges between public officials and business managers are usually sustained through networks of politicians, business, mafia and middlemen. Corruption operates successfully because of a complex web of relationships between public officials (bribe-receivers), business cartels (bribe-givers), middlemen (act as consultants or agents0 and organised crime (play a covert enforcement role) that ensure ‘flow of information’ (discretionary powers) in exchange for ‘money’ (bribes) with the underlying element of ‘trust’.

Tambah beliau, ia berlaku sama di negara negara lain.

Individual atau kelompok tertentu yang mempunyai pengaruh atau kekuasaan boleh berbuat sesuatu untuk mendapat keuntungan kepentingan dan menacai peribadi. Ada yang berselindung dengan syarikat tertentu. Pemilik benefiari ini iaitu pemilik sebenar syarikat atau harta hanya boleh diketahui apabila SPRM meminda Akta SPRM 2009 kelak.

Berdasarkan pada aduan rasuah, SPRM mendapati 63% melibatkan pegawai sektor awam, sektor perolehan 43% dan penguatkuasaan 24%. Ini adalah kerana ‘public sector that has the power that is exchangeable with money’.

SPRM mengenal pasti 16 bentuk penyelewengan yang kerap berlaku dalam sistem perolehan melibatkan pegawai-pegawai yang diberi amanah berkaitan urusan perolehan dan perbekalan.

Ia termasuklah menerima komisen antara lima hingga 10 peratus berdasarkan harga projek daripada syarikat-syarikat yang berjaya, membocorkan maklumat termasuk nilai kontrak kepada kontraktor tertentu, menciplak kertas cadangan dikemukakan oleh pihak tertentu dan kemudian memberi kepada syarikat lain, sengaja meminta syarikat-syarikat tertentu memasuki sebut harga dengan harga yang lebih tinggi, sengaja mencipta sebut harga dengan menggunakan kepada surat atau profil syarikat-syarikat tertentu sedangkan syarikat tersebut sendiri tidak tahu-menahu mengenainya dan berpakat dengan syarikat pembekal untuk mendapatkan sebut harga lima syarikat yang lain sebagai syarat mematuhi peraturan.

Manakala bentuk-bentuk kesalahan kerap dilakukan oleh syarikat pembekal pula termasuklah menyogok pegawai untuk memenangi projek atau kontrak ditawarkan, peranan orang tengah yang mengumpulkan profil-profil syarikat lain untuk memasuki sebut harga, meraikan pegawai bagi tujuan melobi projek, membayar rasuah untuk mendapatkan surat sokongan orang-orang kenamaan, membuat tuntutan penuh sedangkan perbekalan barangan tidak lengkap atau mencukupi, dan mengurangkan kualiti barangan yang dibekalkan.

Wujudnya hubung-kait antara bisnes dan rasuah adalah disebabkan amalan rasuah perlu dilakukan untuk mengelakkan sebarang rintangan daripada pihak berkuasa;

i) mendapat sesuatu urusan dengan kadar segera

ii) mendapat sesuatu melalui saluran pintas

iii) mengelak sebarang tindakan penguatkuasaan.

Amalan rasuah juga merupakan satu amalan untuk mendapat keistimewaan kelulusan dan syarat lebih longgar, memperdaya kerajaan dari segi bayaran cukai dan hasil negara, elakkan aktiviti haram dan tanpa izin - umpama membawa masuk pendatang tanpa izin (PATI).

Perlu ditekankan di sini bahawa pendirian kebanyakan golongan peniaga adalah tiada sebab seseorang peniaga rela mengeluarkan wang bayaran rasuah jika bukan kerana sudah terpaksa. Buat apa mereka hendak habiskan wang mereka sendiri. Tetapi kerana terpaksa mereka kena bagi wang rasuah walaupun bisnes dibuat secara betul lurus ikut prosedur bagi permohonan lesen, permit, kebenaran atau kelulusan.

Dalam negara-negara membangun, gejala tersebut di atas amat berleluasa. Dalam dekad-dekad terkini juga terdapat juga negara-negara maju yang Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 merosot terjerumus ke arah keruntuhan moral, etika dan amalan rasuah melibatkan kecanggihan perancangan untuk mengelak kongkongan undang-undang untuk meminggirkan pematuhan sebagai satu langkah mencapai kelebihan.

Akhirnya mengatasi rasuah dan mengikis amalan rasuah perlulah bermula dengan setiap individu secara spontan dan nilai murni yang menjadi pedoman hidup.

Justeru, pemimpin, ahli politik ketua-ketua jabatan perlu lebih bertanggungjawab, akauntibiliti dan peka terhadap perlakuan rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan. Mereka tidak harus melepas tangan dan tahu membezakan kuasa budi bicara sehingga berlakunya penyalahgunaan kuasa.

Setiap ketua jabatan perlu membentuk sistem pemantauan dan kelulusan berlapis. Ia bukan bertujuan untuk mewujudkan karenah birokrasi tetapi mengurangkan keputusan terhadap sesuatu pembelian berpusat kepada seseorang individu sahaja. Tetapi agar efektif sebagai ketua mereka hendaklah menjadi putih dari putih.

Pemeriksaan mengejut ke atas pelaksanaan projek wajar dilaksanakan bertepatan dengan konsep turun padang. Syarikat-syarikat pembekal atau kontraktor yang gagal memenuhi syarat kontrak atau sebut harga wajib disenarai hitam dan diambil tindakan undang-undang.

Meskipun pihak berkuasa telah memperbaiki sistem dan prosedur berbanding situasi satu atau dua dekad yang lalu, memandangkan isu rasuah dan ketirisan masih mendapat perhatian termasuk hasil Laporan Ketua Audit Negara, prosedur operasi standard (SOP) sistem pengurusan kewangan Kementerian Kewangan terutama dari segi kuasa budi bicara (discretion power) perlu diteliti semula. Ini termasuk sistem audit sendiri.

Dalam hal ini kerjasama orang ramai juga penting memberi sokongan penuh bagi membolehkan SPRM bertindak dengan efektif dan bebas.

Jika setiap individu mempunyai kesedaran etika kerja, mengamalkan sikap integriti dan amanah dalam menjalankan tugas atau bisnes maka rasuah dapat diatasi dengan baik.

* Datuk Seri Akhbar Satar ialah Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia (MACFE)