Hadkan saham ahli politik dalam organisasi media

Gobind Singh Deo. - Foto Bernama
Gobind Singh Deo. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kerajaan dalam proses meneliti sama ada pemilikan saham organisasi media oleh parti dan ahli politik boleh dihadkan bagi memastikan laporan yang dikeluarkan media tersebut tidak berat sebelah, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Katanya kerajaan mahu memastikan laporan yang dikeluarkan oleh media di negara ini bukan sahaja neutral tetapi juga telus dan membawa gambaran sebenar kepada rakyat.

“Perkara ini dalam perhatian, kita akan buat satu keputusan dan maklumkan kepada Dewan dalam masa terdekat,” katanya menjawab soalan tambahan Tan Kok Wai (PH-Cheras) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tan ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mengehadkan pegangan ekuiti parti dan ahli politik dalam organisasi media agar laporan tidak dipengaruhi unsur politik.

Mengulas lanjut, Gobind berkata majlis media juga dilihat mampu mengimbangi perkara tersebut namun cadangan mewujudkan majlis berkenaan belum dimuktamadkan kerana kementerian masih menunggu input daripada pengamal media.

Dalam pada itu, Gobind menegaskan bahawa laporan berita yang tepat dan telus sama ada oleh media cetak mahupun dalam talian adalah penting kerana pemikiran rakyat dibina berdasarkan berita yang mereka baca.

Menjawab soalan asal Tan berhubung kebebasan media untuk semak dan imbang pentadbiran kerajaan, beliau berkata media berperanan sebagai pemantau terhadap institusi kerajaan bagi mengelakkan berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan selain menggalakkan tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab.

Peranan media juga katanya amat penting sebagai jambatan penghubung di antara kerajaan dan rakyat sebagai medium memberi maklumat yang tepat dan sahih sekali gus mendidik masyarakat berkenaan dasar kerajaan.

“Kini melalui media sosial, rakyat juga boleh memberi respons segera berkenaan dasar-dasar kerajaan tersebut,” katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan: