X

Kindly register in order to view this article
!

Ibu atur jadual untuk enam anak ikuti PdPR

Syed Mohd Johan Rizal (kanan) bersama anak-anak Nor Shamsina dan Abd Majid selepas menyerahkan dua tablet kepada keluarga berkenaan di SK Mergong di sini pada Selasa.
A
A

ALOR SETAR - Seorang suri rumah dari Flat Seri Gemilang di sini terpaksa mengatur jadual untuk membolehkan enam anaknya mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menggunakan telefon pintar miliknya.

Nor Shamsina Ahmad,39 berkata, enam daripada sembilan anak-anaknya iaitu Ruhail Amana,17, Unni Hafilda,15,Nur Haikal,13,Hilal Hafizi,11,Ibnu Reza,9 dan Nurul Aqyla, 6 akan menunggu giliran masing-masing untuk menggunakan peralatan itu.

Menurut wanita itu, anak-anaknya memahami kekangan yang dialami oleh mereka akibat terpaksa berkongsi gajet tersebut.

Katanya, lazimnya sesi PdPR anak-anaknya akan bermula dari jam 9 pagi sehingga 3 petang dan keutamaan akan diberikan kepada anak-anak di peringkat menengah untuk menggunakan telefon pintar itu.

"Selalunya yang sekolah menengah tugasan mereka lebih susah dan banyak, jadi saya bagi mereka guna dulu, kemudian baru adik-adik.

"Lagipun telefon saya itu ada masalah bateri,kejap-kejap kena caj tapi setidak-tidaknya ada juga gajet untuk mereka guna sebab suami saya bekerja jadi anak-anak hanya guna telefon saya," katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Mergong di sini pada Selasa.

Menurutnya, dia kini memahami beban guru-guru di sekolah apabila perlu memantau dan mengajar sendiri enam anaknya itu di rumah.

"Bukan senang nak urus anak-anak belajar, ajar yang pra yang lain pula tanya tentang kerja sekolah mereka, pendek kata saya kena bersabar dan mahir semua bab dalam setiap mata pelajaran untuk ajar anak-anak," katanya.

Nor Shamsina berkata, dia dan suaminya Abd Majid Saad, 56, bersyukur apabila pihak SK Mergong memilih anak-anak mereka untuk menerima sumbangan tablet pada Selasa.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Belia Darulaman, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri yang juga Ketua Pemuda UMNO Alor Setar berkata, pihaknya tidak membuka permohonan kepada orang ramai bagi mendapatkan tablet sebaliknya meminta bantuan pihak sekolah untuk mengenal pasti pelajar yang memerlukan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!