[DIKEMASKINI] Anwar sanggah kupasan Tommy mengenai Tun Razak, penjawat awam

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak setuju segala bentuk pembulian atau pengharaman buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ karya bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Walaupun tidak bersetuju dengan pandangan dan kenyataan Tommy, Anwar berpendapat bahawa bekas Peguam Negara itu mesti dibenarkan untuk mempraktik kebebasan bersuara selaras dengan Perlembagaan serta tertakluk kepada undang-undang yang memantau fitnah dan berbaur hasutan.

“Mendiamkan mana-mana suara adalah langkah ke belakang. Harus saya nyatakan di sini bahawa suara Tommy juga sama penting dalam usaha kita menghidup dan meraikan kemajmukan di negara ini di mana suara daripada kaum lain juga mesti diangkat dan diraikan.

“Malangnya, ‘Justice in the Wilderness’ adalah buku yang sarat dengan stereotaip, dan kita harus menelaahnya dengan prinsip skeptisisme yang tinggi,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, buku tersebut adalah kisah daripada Tommy dan walaupun orang ramai berdebat dan membantah kandungannya, adalah hak bekas Peguam Negara itu untuk menceritakan seperti mana yang dimahukannya.

Menyentuh mengenai penegasan dibuat Tommy berhubung peristiwa 13 Mei bahawa terdapat bukti yang menunjukkan kudeta digerakkan oleh Almarhum Tun Abdul Razak, Anwar berkata, bekas Perdana Menteri itu tidak hanya diiktiraf sebagai penggagas dalam pembangunan negara tetapi sosok besar yang sangat prihatin terhadap nasib rakyat dan bangsa.

“Tun Razak juga manusia seperti kita dan tentunya ada kelemahannya yang tersendiri. Penting juga bagi kita sebagai masyarakat yang berfikrah kritikal untuk berhenti mengagung-agungkan tanggapan sejarah tertentu.

“Saya tidak boleh salahkan Tommy untuk cuba mengubah sesuatu tanggapan sejarah di masa lalu, tetapi ia juga penting untuk kembali melihat sejarah dalam latar atau konteks yang tepat berserta analisa baharu yang lebih segar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Memoir Tommy ibarat ‘makan cili rasa pedas’, kata Rafidah Aziz

Mengulas mengenai gambaran Tommy bahawa peguam-peguam di sektor awam mempunyai sikap yang tipikal, mendapat gaji yang tetap setiap bulan dan hanya mengharapkan pencen setelah bersara, Anwar melihat bekas Peguam Negara itu melemparkan satu tuduhan yang sangat serius kepada Jabatan Peguam Negara.

“Tommy tidak hanya menghina Pejabat Peguam Negara tetapi telah merobek imej serta reputasi keseluruhan penjawat awam di negara ini.

“Tanggapan bahawa penjawat awam bekerja di sektor awam hanya untuk mendapat gaji tetap dengan harapan akan menerima pencen sesudah bersara adalah tanggapan yang menjijikkan dan langsung tidak berasaskan kritikan yang rasional,” tegasnya.

Menurut Anwar, walaupun beliau mempunyai sejarah hitam dengan Jabatan Peguam Negara, beliau tidak boleh mengeluarkan kenyataan streotaip melibatkan kecekapan dan profesionaliseme mereka.

“Sikap individu tidak boleh digunakan untuk menghukum keseluruhan mereka yang saya percaya sememangnya efisien dan profesional.

“Dalam banyak ketika, terdapat ramai penjawat awam di pelbagai kementerian, jabatan-jabatan kerajaan serta pelbagai institusi awam yang pernah saya ketemu tidak hanya punyai kecekapan sebagai penjawat awam tetapi punyai komitmen serta dedikasi dalam mengangkat suara rakyat melebihi mereka di sektor swasta,” jelasnya.