Gadis dirogol empat lelaki selepas berkenalan di WhatsApp

Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dirogol empat lelaki termasuk seorang yang baru dikenali di aplikasi WhatsApp pada Sabtu. Gambar kecil: Zulkepli Ibrahim
Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dirogol empat lelaki termasuk seorang yang baru dikenali di aplikasi WhatsApp pada Sabtu. Gambar kecil: Zulkepli Ibrahim
A
A
A

PENGKALAN HULU - Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dirogol empat lelaki termasuk seorang yang baru dikenali di aplikasi WhatsApp di sebuah kampung di Ayer Panas, di sini pada Sabtu.

Kejadian itu berlaku selepas mangsa yang masih bersekolah keluar dari rumahnya secara diam-diam untuk bertemu kenalannya yang berusia 18 tahun itu pada jam 7.50 malam.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, mangsa memberitahu telah dibawa kenalannya itu bersiar-siar menaiki sebuah kereta di sekitar Pengkalan Hulu sebelum dibawa ke sebuah rumah.

"Dalam rumah tersebut, mangsa telah diperkosa secara berkumpulan oleh kenalannya dan tiga lagi lelaki tidak dikenali di tiga bilik berasingan.

"Kejadian itu berlaku antara jam 11 malam sehingga 3 petang keesokan hari dan mangsa kemudiannya ditinggalkan di tepi jalan besar Kampung Tanjung Kala, Gerik sekitar jam 6.30 petang," katanya.

Menurutnya, kejadian itu terbongkar selepas mangsa didesak ibunya dan mengaku melakukan perbuatan seks dengan empat lelaki tanpa kerelaaan.

"Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani, Kedah," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan dibuat, polis melalui Bahagian Siasatan Jenayah telah berjaya membuat tangkapan ke atas enam lelaki termasuk empat suspek utama berusia antara 18 hingga 58 tahun pada Isnin bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua lelaki itu ditahan di beberapa lokasi berlainan di daerah itu berserta rampasan barang-barang kes berkaitan.

"Kesemua mereka telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 15 Februari ini bagi siasatan kes dibawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana melakukan rogol berkumpulan," katanya.