Tiga lelaki menyamar polis dan melakukan samun ditahan

PDRM
PDRM
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun seorang pelajar warga asing institusi pengajian awam di bandar raya ini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 17 hingga 23 tahun itu ditahan semalam (10 Februari) di lokasi berasingan sekitar bandar raya ini.

Menurutnya, dalam kejadian samun di Jalan Pendidikan 1, Taman Universiti, Skudai, itu, mangsa yang merupakan warga Bangladesh memaklumkan dirinya telah disamun beberapa lelaki yang menyamar sebagai anggota polis.

"Kejadian berlaku pada hari yang sama tangkapan di buat, iaitu kurang daripada tempoh 24 jam. Berdasarkan penjelasan mangsa, suspek telah mengenalkan diri sebagai anggota polis dan meminta dokumen pengenalan dirinya.

"Suspek kemudiannya bertindak mengeluarkan pisau ke arah mangsa sebelum merampas telefon bimbit milik mangsa dan melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Taib berkata, susulan laporan polis yang dibuat mangsa, gerakan mengesan suspek terus dilakukan sebelum berjaya mengesan salah seorang suspek yang berusia 17 tahun.

"Susulan itu dua lagi suspek yang berusia 22 dan 23 tahun berjaya dikesan. Kami juga menemui beberapa barangan kes termasuk telefon bimbit mangsa di rumah salah seorang suspek," katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap kesemua suspek kemudiannya berjaya mendapat pengakuan mereka dalam kejadian itu selain turut memberitahu terdapat penglibatan seorang lagi suspek.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dua daripada suspek yang ditahan juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

"Kita dah menerima maklumat dan gerakan mengesan suspek yang masih bebas ini sedang dilakukan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.