Kerajaan digesa tangani masalah kekurangan peranti

Steven Sim
Steven Sim
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan digesa mengambil tiga langkah kecemasan segera dalam menangani masalah kekurangan peranti oleh pelajar sekolah bagi meneruskan pendidikan secara normal.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan yang kini diterajui Perikatan Nasional (PN) perlu menunaikan janji Belanjawan 2021 untuk memberikan 150,000 komputer riba kepada pelajar daripada keluarga kurang kemampuan.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh terus berpeluk tubuh menghitung hari ketika anak-anak di negara ini tidak dapat meneruskan pendidikan secara normal.

"Kerajaan juga perlu memberikan pelepasan cukai pendapatan bagi pembelian komputer serta alat bantuan pengajaran dan pembelajaran dalam talian sehingga dua orang anak setiap isi rumah.

"Saya sudah mengemukakan cadangan ini ketika perbahasan Belanjawan 2021 pada tahun lalu. Selain itu, kerajaan perlu menjamin bekalan peranti seperti komputer peribadi, komputer riba dandijual dengan harga mampu milik dan mempunyai kualiti yang baik," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Steven yang juga bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, krisis pendidikan kini akan memberikan kesan bukan sahaja kepada pelajar, malah kepada masyarakat secara amnya pada masa hadapan.

"Kegagalan kerajaan PN menguruskan pandemik Covid-19 telah menyebabkan rakyat dan negara menghadapi krisis yang teruk iaitu krisis kesihatan, ekonomi, politik, keyakinan dan pendidikan.

"Laporan Kementerian Pelajaran pada April 2020 menunjukkan bahawa hampir 40 peratus pelajar di Malaysia tiada sebarang peranti untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, hanya 5.7 peratus mempunyai komputer atau tablet, manakala sebahagian besar iaitu 46 peratus hanya mempunyai telefon pintar.

"Penggunaan telefon pintar yang berskrin kecil sudah tentu mendatangkan pelbagai cabaran dan kesusahan dalam PdPR," katanya.

Mengulas mengenai harga peranti yang dilaporkan naik mendadak, Steven berkata, perkara itu tidak mengejutkan kerana ia didapati berlaku sejak hujung tahun lalu.

"Laporan media sebelum ini melaporkan harga peranti seperti komputer riba telah naik sehingga 70 peratus. Ia bukan satu perkara mengejutkan. Laporan mengatakan ketiadaan stok komputer riba yang berharga sederhana menyebabkan pengguna terpaksa membeli komputer riba yang lebih mahal.

"Saya sendiri juga mempunyai pengalaman yang sama dalam menjalankan kempen 'Asal Cek Mau Pi Sekolah' yang mana salah satu komponennya ialah memberikan peranti percuma seperti komputer riba atau tablet kepada pelajar daripada keluarga miskin.

"Saya menerima pelbagai aduan tentang perkara itu daripada orang awam yang terpaksa membeli peranti untuk anak-anak mereka," katanya.