Malaysia perlu imej bersih tanpa rasuah

Negara akan lebih bermaruah dan dihormati sekiranya kita tidak memberi dan menerima wang berbentuk sogokan. - Foto 123RF
Negara akan lebih bermaruah dan dihormati sekiranya kita tidak memberi dan menerima wang berbentuk sogokan. - Foto 123RF
A
A
A

BERDASARKAN Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 dikeluarkan Transparency International (TI) baru-baru ini, nampaknya gejala rasuah di negara kita masih berlaku secara meluas malahan semakin membimbangkan.

Melihat senarai tersebut, Malaysia jatuh enam anak tangga kepada kedudukan ke-57 daripada keseluruhan 180 negara.

Malaysia mencatat skor 51 daripada 100 berbanding skor 53 pada 2019, berdasarkan tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara dengan mengikut skala 0 (paling korup) hingga 100 (paling bersih).

Bagi membasmi gejala rasuah, ia memerlukan keazaman dan kesungguhan yang berpanjangan melibatkan semua pihak sama ada agensi dan jabatan kerajaan, pihak swasta dan masyarakat umum.

Berbanding pada tahun 2019, Malaysia berada di kedudukan 51 dan skor Malaysia juga meningkat sebanyak 53 daripada 100 mata, peningkatan daripada 47 mata yang diperoleh pada tahun sebelumnya.

Peningkatan tersebut adalah disebabkan tindakan diambil kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu untuk menangani skandal dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International, Felda dan Tabung Haji selepas mengambil alih pentadbiran.

Bagaimanapun, kejayaan itu tidak kekal lama. CPI 2020 membuktikan biarpun usaha kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sentiasa komited membanteras perbuatan keji tersebut, namun ia masih belum menampakkan kejayaan yang membanggakan.

Bagi mencerminkan negara kita benar-benar dijauhi sebarang penyelewengan wang dan penyalahgunaan kuasa, SPRM seharusnya perlu melipatgandakan tugas dengan menyiasat dan mendakwa mana-mana individu yang terbabit.

Artikel Berkaitan:

Tidak kiralah perasuah tersebut adalah pemimpin-pemimpin politik profil tinggi, ketua jabatan kerajaan, tokoh perniagaan terkenal sehinggalah penjawat awam biasa, kesemua mereka ini mesti diheret ke muka pengadilan.

Malaysia memerlukan imej yang bersih tanpa sebarang rasuah. Negara akan lebih bermaruah dan dihormati sekiranya kita tidak memberi dan menerima wang berbentuk sogokan.