X

Kindly register in order to view this article
!

'PH sudah terkubur, jangan mimpi jadi kerajaan'

Noh (tiga dari kanan) bersama petugas dan wakil Pas Kawasan Tanjong Karang semasa proses persiapan sumbangan kepada asnaf di Pusat Pengagihan Bantuan di Bagan Tengkorak di sini pada Sabtu.
A
A

TANJONG KARANG - Pakatan Harapan (PH) dinasihatkan tidak bermimpi di siang hari untuk kembali menerajui kerajaan Persekutuan walaupun mendapat mandat daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan PH sudah pun terkubur akibat pergelutan dalaman antara parti dalam gabungan itu.

"Kita boleh ibaratkan kerajaan PH seperti sebuah rumah yang sudah terbakar menjadi abu dan bagaimana mereka (PH) hendak bina (rumah) semula?

"PH kena terima hakikat rumah mereka sudah terbakar dan tiada lagi isu kerajaan pintu belakang atau tebuk atap kerana pemimpin PH bertanggungjawab membakar rumah mereka sendiri," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Asnaf di Pusat Pengagihan Bantuan di Bagan Tengkorak di sini pada Sabtu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, Barisan Nasional (BN) dan Pas yang menjadi pembangkang ketika itu menjadi penyelamat untuk bersama-sama menyokong penubuhan kerajaan Perikanan Nasional (PN) selaras Perlembagaan Persekutuan.

"Apabila rumah sudah terbakar, kita buat rumah sementara kerana mahu rakyat terus diberi pembelaan.

"Kalau hendak buat rumah kekal, maka kita kena tunggulah sehingga PRU-15 nanti," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, PH kekal dengan pendirian tidak mahu PRU15 diadakan sebaliknya mahu mandat rakyat dikembalikan kepada mereka.

Dalam satu kenyataan bersama Majlis Setiausaha PH pada Jumaat, mereka mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sering membangkitkan isu berkaitan pilihan raya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!