X

Kindly register in order to view this article
!

Madius jemput MP UMNO bawa RUU ke Parlimen

Madius
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau menjemput Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi bersama rakan UMNO di Parlimen untuk bersama-sama membawa satu Rang Undang-Undang (RUU) Peruntukan Pembangunan Kawasan Saksama dalam bentuk rang undang-undang persendirian apabila Parlimen bersidang.

Ahli Parlimen Tuaran itu berkata, peruntukan pembangunan kawasan (CDF) perlu saksama dan diperuntukkan oleh undang-undang khas dan bukan sewenang-wenangnya ditentukan oleh pihak kerajaan.

"Jika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ingin menghentikan sengketa antara parti kerajaan dan pembangkang bagi membolehkan ekonomi dipulihkan dalam pandemik wabak koronavirus (Covid-19), beliau perlu menghentikan amalan tidak adil yang menganaktirikan ahli Parlimen pembangkang.

"Saya simpati dengan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Zahid Hamidi yang merasai kesempitan kerana ahli Parlimen UMNO diberikan peruntukan hanya RM100,000 dan bukan RM3.7 juta oleh ahli Parlimen parti kerajaan di Semenanjung," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya lagi, pesanan kerajaan Muhyiddin itu jelas sekali bahawa UMNO yang selalu kata tidak menyokong kerajaan beliau adalah pembangkang.

"Demi menghukum UMNO, beliau ingin memaksa parti itu memohon maaf pada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan memulihkan majoriti kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi perbezaan peruntukan yang melebihi RM3 juta.

"Kalau wakil-wakil rakyat UMNO tetap menolak kepimpinan Muhyiddin tetapi tidak ingin hilang peruntukan lebihan melepasi RM3 juta (bezanya hampir RM4 juta untuk Ahli-ahli Parlimen UMNO di Sabah), maka UMNO perlu berpakat dengan parti pembangkang lain seperti UPKO untuk melawan diskriminasi ini.

"Sekiranya Muhyiddin enggan menghentikan amalan menghina rakyat kawasan pembangkang, demi maruah, saya berharap UMNO dan UPKO akan bekerjasama membawa RUU Persendirian untuk CDF saksama dan menguji majoriti pihak kerajaan pada sidang akan datang," katanya.

Madius turut mendedahkan peruntukan RM100,000 yang diumumkan untuk wakil rakyat pembangkang ketika pembentangan bajet 2021 tidak sampai ke Tuaran.

"Kalau wang telah dikeluarkan, maka ia telah kehilangan di tengah jalan. Seringgit pun saya tidak terima.

"Kini saya terpaksa menggunakan sebahagian daripada gaji ahli Parlimen untuk membayar pembantu saya dan menyewa ruang pejabat untuk berkhidmat di sini.

"Ini kerana kerajaan Negeri baru juga telah menamatkan peruntukan untuk membayar elaun pegawai-pegawai di pusat khidmat. Malah, pejabat Pusat Khidmat Parlimen Tuaran yang beroperasi di bangunan lama Pejabat Daerah Kecil Tamparuli turut diambil balik oleh kerajaan Negeri," katanya.

Madius turut mendakwa, diskriminasi terhadap ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali di Perak sejak Disember 2020 telah berlangsung berdekad-dekad.

"Semasa zaman Barisan Nasional (BN), wakil-wakil rakyat pembangkang tidak mendapat seringgit pun CDF. PH mengurangkan tetapi tidak menghapuskan diskriminasi ini pada 2018, wakil-wakil rakyat pembangkang mendapat RM100,000 sementara wakil rakyat pemerintah mendapat RM500,000.

"Datuk Seri Zahid Hamidi, mari kita bersama-sama lawan amalan keji ini yang dahulunya kita sama-sama terlepas pandang ketidakadilannya.

"Kini, kita mesti bersikap adil untuk memperjuangkan keadilan untuk semua ahli Dewan dan bukan kita sahaja. Tiada pembangkang, sama ada UMNO atau pun UPKO, harus dianaktirikan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!