X

Kindly register in order to view this article
!

Gandingan duo pilihan

Gambar dari kiri: Hamidin, Mohd Yusoff
A
A

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan timbalannya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dikhabarkan mendapat sokongan padu daripada majoriti ahli gabungan badan induk itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Suffian berkata, barisan sedia ada termasuk kepimpinan Hamidin dan Mohd Yusoff perlu dikekalkan pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021 hingga 2025 bulan depan.

“Bagi saya, kepimpinan yang sedia ini biarlah kekal untuk kesinambungan beberapa tahun akan datang. Kalau asyik berubah pun akan timbul masalah. Tambahan pula, kami tidak ada sebarang masalah dengan kepimpinan yang ada hari ini.

“Cuma mungkin kepimpinan yang ada boleh digemblengkan dengan beberapa muka baharu yang memiliki ketokohan dalam bidang bola sepak.

“Kami tidak boleh menidakkan peranan bekas pemain atau mereka yang dilihat sebagai seorang tokoh sukan. Apap pun kami mengalu-alukan mereka bertanding di peringkat exco,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Bagi Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustafa, beliau percaya Hamidin dan Mohd Yusoff

masih mampu menerajui FAM pada penggal akan datang.

“Sehingga hari ini, tiada sebarang permasalahan yang timbul antara FAM dan KLFA. Malah, saya juga yakin FAM tidak mempunyai masalah dengan semua persatuan atau kelab bola sepak di negara ini.

“Pada saya Datuk Hamidin berjaya menerajui FAM dengan baik, memang tiada masalah... cuma disebabkan masalah pandemik Covid-19 ketika ini yang menjadikan semua kerja tergendala.

“Secara keseluruhannya, apa yang saya nampak, beliau serta Datuk Mohd Yusoff telah melaksanakan tugas mereka dengan baik dan usaha mereka sebelum ini perlu diteruskan,” ujarnya.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman pula berkata, pihaknya tetap menyatakan sokongan terhadap Hamidin dan Mohd Yusoff bagi mempertahankan jawatan masing-masing.

“Bagi saya, bagus untuk mereka mempertahankan jawatan yang disandang. Namun, kita nak tengok juga siapa calon yang sedia bertanding bagi merebut kedua-dua jawatan berkenaan.

“Jika ada pun pertandingan bagi kedua-dua jawatan itu nanti, saya harap biarlah calon atau individu itu mempunyai misi dan visi yang jelas dalam mengangkat bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi,” jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!