Kerajaan urus Covid-19 secara bersepadu, libat kerajaan negeri

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan setiap tindakan bagi memerangi pandemik Covid-19 dilaksanakan secara bersepadu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sedar kerajaan Persekutuan tidak boleh bertindak bersendirian tanpa penglibatan kerajaan negeri kerana terdapat perkara-perkara penting yang berkaitan dengan pengurusan Covid-19 yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Menurutnya, beliau telah mengundang semua menteri besar dan ketua menteri untuk menghadiri Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 yang diadakan tiga kali seminggu.

"Banyak isu yang turut melibatkan kepentingan serta peranan negeri dibincangkan dalam sidang khas ini.

"Di peringkat negeri, menteri besar dan ketua menteri mempengerusikan mesyuarat di peringkat negeri masing-masing yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi untuk bersama-sama mengurus pandemik ini dengan lebih berkesan.

"Justeru, setiap peringkat pentadbiran kerajaan mengambil tanggungjawab bersama untuk memelihara keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas mengenai pelaksanaan darurat dan pemasyhuran Ordinan Darurat dalam mengurus pandemik Covid-19 yang disiarkan di saluran televisyen dan media sosial rasmi kerajaan pada Khamis.

Artikel Berkaitan: