Kes kanser dikesan lewat meningkat

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyuarakan kebimbangan apabila kes kanser tahap tiga dan empat yang dikesan lewat merekodkan peningkatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mengikut data keseluruhan kes kanser yang dikesan lewat pada tahun 2012 hingga 2016 adalah 63.7 peratus.

"Pada tahun 2001 hingga 2011, kes kanser dikesan lewat adalah 58.7 peratus. Ini amat membimbangkan," katanya dalam kenyataan bersempena Hari Kanser Sedunia pada Khamis.

Menurutnya, bilangan kes kanser pada tahun 2012 hingga 2016 turut meningkat sebanyak 11 peratus berbanding 2007 dan 2011.

"Secara keseluruhan, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia adalah kanser payudara iaitu 19 peratus diikuti dengan kanser kolorektal atau usus besar 13.5 peratus dan kanser paru-paru 9.8 peratus," katanya.

Beliau berkata, dalam kalangan lelaki, kanser kolorektal merupakan kanser yang paling kerap berlaku iaitu 16.9 peratus manakala kanser payudara berlaku pada wanita iaitu 33.9 peratus.

"Berdasarkan Health Facts terbitan KKM, pada tahun 2019, kanser adalah penyebab kematian utama di hospital swasta iaitu 33.19 peratus dan keempat utama di hospital kerajaan dengan peratusan 12.18," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, satu pertiga kematian kanser adalah dikaitkan dengan amalan berisiko iaitu berat badan yang berlebihan, kurang pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, kurang melakukan aktiviti fizikal, pengambilan tembakau atau merokok serta pengambilan alkohol.

Artikel Berkaitan:

"Pengambilan tembakau merupakan faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser dan menyumbang kepada 22 peratus

kematian akibat kanser," katanya.

Menurutnya, sebagai langkah pencegahan, KKM sentiasa komited menggalakkan orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat.

KKM juga menyediakan perkhidmatan immunisasi Human Papilloma Virus (HPV) untuk pelajar sekolah perempuan di Tingkatan Satu bagi mencegah kanser serviks dan immunisasi Hepatitis B kepada bayi bagi mencegah kanser hati.

"Bagi mengelakkan kanser dikesan lewat dan peluang untuk sembuh yang lebih baik, orang ramai diminta untuk melakukan ujian saringan serta dinasihatkan supaya mengenali tanda dan gejala awal kanser.

"KKM menyediakan perkhidmatan saringan kanser payudara, kolorektal, serviks dan mulut di seluruh negara secara percuma," katanya.

Sehubungan dengan tema I Am and I Will (saya akan dan saya boleh), Dr Noor Hisham mengajak semua individu memainkan peranan masing- masing dalam mencegah dan mengawal kanser.

"Jadikan pencegahan kanser sebagai salah satu agenda utama dalam kehidupan seharian dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat selain segera bertemu doktor untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut sekiranya mempunyai tanda dan gejala," katanya.