Suu Kyi dituduh langgar undang-undang import, eksport

Penunjuk perasaan berhimpun di luar bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bangkok bagi memprotes rampasan kuasa di Myanmar. - AFP
Penunjuk perasaan berhimpun di luar bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bangkok bagi memprotes rampasan kuasa di Myanmar. - AFP
A
A
A

YANGON - Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi didakwa di mahkamah atas tuduhan melanggar undang-undang import dan eksport, menurut jurucakap Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pada Rabu.

Setiausaha akhbar NLD, Kyi Toe berkata, mahkamah turut mengeluarkan perintah reman sehingga 15 Februari terhadap pemimpin berusia 75 tahun itu.

"Kami mendapat maklumat yang boleh dipercayai bahawa mahkamah Dakhinathiri telah mengeluarkan perintah reman terhadap Aung San Suu Kyi," katanya.

Kyi Toe turut memaklumkan bahawa Presiden Win Myint yang turut ditahan pihak Junta pada Isnin lalu telah didakwa di bawah undang-undang Pengurusan Bencana Nasional.

Sementara itu, dokumen polis menyebut pihak tentera yang menggeladah kediaman Suu Kyi telah menemui alat komunikasi walkie talkie yang diimport secara haram.

Jika disabit bersalah, Suu Kyi boleh dikenakan hukuman tiga tahun penjara.

Win Myint, 69, turut berdepan tempoh hukuman sama jika sabit kesalahan.

Pada Isnin lalu, media antarabangsa melaporkan Tatmadaw (Angkatan Tentera Myanmar) melancarkan kudeta di Myanmar.

Artikel Berkaitan:

Pihak tentera diketuai Jeneral Min Aung Hlaing turut mengisytiharkan darurat selama setahun diikuti dengan penahanan pemimpin politik serta pegawai kanan kerajaan lain atas dakwaan penyelewengan undi dalam pilihan raya negara itu pada November 2020. - Agensi