Bekas komandan Akademi UPNM didakwa ubah wang haram RM400,000

Tertuduh yang sebelum ini didakwa melakukan pecah amanah, dihadapkan sekali lagi ke mahkamah atas dua pertuduhan pengubahan wang haram.
Tertuduh yang sebelum ini didakwa melakukan pecah amanah, dihadapkan sekali lagi ke mahkamah atas dua pertuduhan pengubahan wang haram.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas komandan Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang sebelum ini didakwa melakukan pecah amanah, pada Rabu dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM400,000.

Brigadier Jeneral (Bersara) Datuk Mohamad Adkaa Solahuddin, 64, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayub.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, beliau didakwa telah menerima wang masing-masing RM200,000 melalui dua cek daripada syarikat Too Pro Market dan SFX Management, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank miliknya.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Kompleks Dayabumi, Lot F1/26 dan F1/27, Kompleks Dayabumi City Point, di sini, pada 11 dan 13 Okt 2016 mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh mengguna pakai jaminan dalam kes sebelum ini berjumlah RM80,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 26 Februari untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam Nor Asyikin Zakaria.

Pada 23 November tahun lalu, Mohamad Adkaa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan pecah amanah, dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM420,000 milik Tabung Kebajikan Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, untuk pelaburan melalui institusi kewangan tidak berdaftar dan tidak sah. - Bernama

Artikel Berkaitan: