X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Video nasihat si cilik dapat perhatian

Video Aming diulang siar oleh Ismail Sabri sehingga tular semula di Facebook.
A
A

KOTA KINABALU - Usianya baru lapan tahun, tetapi petah berkata-kata sehingga setiap nasihatnya yang dimuat naik melalui video di laman sosial mendapat perhatian netizen.

Muhammad Aming Salleh Abdullah atau lebih dikenali sebagai Aming berkata, video yang dirakamnya banyak berunsur nasihat termasuk situasi terkini berkaitan pandemik Covid-19.

"Saya memang suka buat video tetapi ikut 'mood' dan kalau ada idea, saya akan buat. Ini cuma mengisi masa lapang memandangkan tidak dapat bersekolah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Biasanya video saya berunsur nasihat dan ada juga mengenai PKP kerana wabak koronavirus (Covid-19)," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, dia tidak kisah kalau ada netizen kurang suka dengan video yang dimuat naik oleh ibunya, yang penting mesejnya sampai kepada orang ramai.

"Saya cuma beri ingatan sahaja. Kadang-kadang ada yang tidak faham, ada yang kurang suka tetapi tidak apalah. Kalau yang suka, biarlah, yang penting mesej sampai dan ada juga beribu pengguna media sosial kongsi video itu.

"Saya cuma rakam dan biasanya ibu yang akan muat naik ke Youtube, Facebook dan TikTok," katanya yang menetap di Tawau.

Ditanya sama ada dia mengetahui videonya itu pernah diulang siar serta tular semula di laman Facebook milik Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Aming berkata, dia tidak mengetahuinya.

"Saya tidak tahu, tetapi saya suka nasihatkan orang ramai supaya sentiasa ikut prosedur operasi standard (SOP), pakai pelitup muka, jangan keluar kalau tiada keperluan," katanya.

Sementara itu, ibu kepada Aming, Santi Sabri, 33, berkata, anaknya itu dianggap sebagai penghibur di rumah mereka memandangkan tiga lagi anaknya tidak menetap bersamanya.

"Memang anak saya ini petah bercakap malah dengan saya pun begitulah caranya bercakap.

"Namun dia kurang suka jika saya bercakap perkara yang kurang berfaedah malah dalam videonya turut menasihatkan perkara yang baik-baik," katanya.

Terdahulu, aksi si cilik ini sering mendapat perhatian di Facebook apabila videonya dianggap comel dan penuh dengan inti pati berunsur nasihat.

Sehingga kini, Facebook milik Aming dengan menggunakan nama Muhd Aming mempunyai lebih 100,000 pengikut dan video nasihatnya supaya mematuhi SOP memakai pelitup muka yang dimuat naik pada 27 Oktober tahun lalu mendapat 49,000 perkongsian dengan 1.4 juta tontonan.

Malah video itu turut diulang siar oleh pengguna Facebook lain termasuk Ismail Sabri pada 23 Januari lalu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!