Sedia undur diri jika gagal beri khidmat terbaik

Muhammad Allif
Muhammad Allif
A
A
A

REMBAU - Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, Muhammad Allif Ibrahim bersedia ditukarkan atau berundur jika gagal memberikan khidmat yang terbaik dalam tempoh satu tahun.

Muhammad Allif memberi respon kepada kenyataan Ketua Amanah Kawasan Rembau, Norwani Ahmat yang didakwa tidak berpuas hati dengan pelantikannya sebagai Penyelaras DUN Kota yang baharu.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Negeri Sembilan dan Ketua Pemuda Amanah Rembau yang menggantikan Sahrizal Masrudin itu telah memegang jawatan tersebut sejak 2018.

Menerusi kenyataan yang dihantar kepada Sinar Harian, beliau berkata, fokusnya kini hanya untuk membantu masyarakat DUN Kota terutama yang terkesan dengan Covid-19.

"Beri anak muda peluang untuk berbakti kepada masyarakat dan saya bersyukur kerana pucuk kepimpinan Amanah Negeri Sembilan memberi peluang kepada anak muda untuk berbakti.

"Mehnah dan tribulasi perjuangan akan membuatkan saya lebih bersemangat untuk membuktikan saya mampu melakukan yang terbaik kepada warga DUN Kota," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun kerana sudi memberi peluang kepada anak muda sepertinya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan isu pelantikan Muhammad Allif Ibrahim sebagai Penyelaras DUN Kota yang baharu sementara Norwani dalam kenyataannya pada Sabtu berkata, sepatutnya tiada pertukaran kerana ia sudah diputuskan dalam mesyuarat.

Artikel Berkaitan:

"Keputusan sebulat suara ahli jawatankuasa (AJK) bermesyuarat pada 16 Januari lalu memutuskan agar tiada pertukaran dilakukan dan surat telah dihantar kepada Pengerusi Amanah Negeri Sembilan pada 17 Januari lalu.

"Namun, saranan daripada Amanah Kawasan Rembau tidak dilayan dan ditolak. Keputusan dibuat menunjukkan pihak negeri tidak menghormati keputusan keseluruhan AJK Mesyuarat Amanah Kawasan Rembau," katanya.