Guna data internet percuma, ikuti PdPR sebaik-baiknya: SKMM

Lanjutan pengumuman Kementerian Kesihatan mengenai trend jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat, Kementerian Pendidikan mengumumkan semua murid sekolah rendah dan menengah perlu mengikuti pembelajaran melalui PdPR. - Foto Bernama
Lanjutan pengumuman Kementerian Kesihatan mengenai trend jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat, Kementerian Pendidikan mengumumkan semua murid sekolah rendah dan menengah perlu mengikuti pembelajaran melalui PdPR. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelanggan perkhidmatan telekomunikasi terutamanya pelajar, guru dan ibu bapa disaran menggunakan peruntukan 1GB data percuma setiap hari atau 30GB data percuma sebulan sebaik-baiknya bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, data internet percuma sejak April tahun lepas itu adalah tambahan kepada pakej langganan data sedia ada, yang boleh digunakan untuk mengakses platform sidang video.

Tawaran 1GB data percuma setiap hari atau 30GB sebulan itu dilanjutkan sehingga 30 April ini, juga dapat membantu menguruskan bahan pengajaran menerusi e-mel sepanjang hari tanpa sekatan waktu.

“Data percuma itu tidak terpakai untuk melayari media sosial, penstriman video, permainan dalam talian dan penstriman muzik.

"SKMM sentiasa mengalu-alukan bantuan daripada syarikat pemberi perkhidmatan yang prihatin untuk turut sama membantu menjayakan PdPR, iaitu Celcom, Digi, Maxis, UMobile dan Telekom Malaysia (TM)," menurut kenyataan itu.

Selain itu, pihak industri telekomunikasi juga menyediakan pakej langganan khas untuk pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) bermula 6 Januari lepas hingga akhir April ini.

Memperincikan perkara itu SKMM berkata, pakej prabayar oleh Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan TM ini menawarkan pas data 15GB dengan harga serendah RM20 sebulan.

"Pengguna pakej ini turut dapat menikmati peruntukan 1GB data percuma tambahan setiap hari seperti pelanggan pakej lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, YTL Communications Sdn Bhd (YTL) turut sama melanjutkan inisiatif Learn From Home (LFH) sehingga 30 April 2021, yang turut merangkumi penuntut IPT.

"Pakej istimewa ini menyediakan kad SIM percuma dengan data sebanyak 40GB, kandungan percuma dan telefon percuma untuk pelajar daripada keluarga B40,” menurut SKMM. - Bernama