MCCF sangkal dakwaan sukar turun harga RT-PCR

Halim
Halim
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menyangkal dakwaan Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Datuk Dr Kuljit Singh bahawa kos ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sukar diturunkan oleh pengamal hospital dan klinik swasta.

Pengerusi MCCF, Datuk Halim Ishak berkata, kaedah saringan RT-PCR adalah tepat dan cepat walaupun kosnya lebih daripada RTK-Antigen.

Katanya, Program Saringan Prihatin Komuniti MCCF mengenakan bayaran saringan RT-PCR purata antara di bawah harga RM220 (secara berkelompok) di lokasi pelanggan.

“Ini bukanlah masa untuk mengaut keuntungan daripada rakyat dengan mengenakan bayaran saringan yang tinggi.

“Apa yang lebih penting ialah semua pihak termasuk agensi kerajaan, hospital dan klinik swasta serta pertubuhan bukan kerajaan berganding bahu membuat saringan RT-PCR kepada semua komuniti masyarakat agar pihak KKM segera mengesan dan memantau penularan pesakit yang positif Covid19,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Traumatologi dan Perubatan Kecemasan Malaysia selaku Penasihat Program Saringan Prihatin Komuniti MCCF, Profesor Datuk Seri Dr Abu Hassan Asaari Abdullah memaklumkan, dalam situasi tersebut, sudah menjadi tugas dan tanggungjawab semua pihak termasuk hospital dan klinik swasta untuk bersama mengembeling tenaga dalam membantu melaksanakan saringan RT-PCR.

Terdahulu, Dr Kuljit Singh menyatakan hospital dan klinik swasta sukar menurunkan caj saringan Covid-19 kerana kebanyakannya menggunakan ujian RT-PCR yang jauh lebih mahal berbanding Kit Ujian RTK-Ag

Katanya, pengamal swasta menggunakan RT-PCR kerana keputusannya lebih tepat berbanding kaedah lain dan prosedur tersebut bukan dilakukan oleh mesin tetapi menggunakan sumber manusia.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan sama, Halim menyarankan semua hospital dan klinik swasta untuk menjalankan rasa tanggunjawab dengan membantu menyelamatkan nyawa warganegara dan warga asing di negara ini.

Katanya, pihak kerajaan juga harus menguatkuasakan Akta 342 (Pengawalan Penyakit Berjangkit) dengan memberi kompaun dan menyita majikan di mana-mana premis perniagaan, kilang dan tapak pembinaan yang tidak membuat saringan untuk pekerja asing dan warga negara yang bekerja di syarikat mereka.