X

Kindly register in order to view this article
!

355 individu terima anugerah sempena Hari Wilayah Persekutuan

Annuar Musa
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas mendahului senarai 355 penerima darjah kebesaran bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan yang disambut pada Isnin.

Beliau bersama enam yang lain menerima darjah kebesaran pangkat pertama iaitu Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Penerima anugerah sama ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Ragad Kurdi Taib; Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, seramai enam individu dianugerahi SUMW, manakala 24 individu dianugerahi pangkat kedua, Seri Mahkota Wilayah (SMW) dan 81 individu dianugerahi pangkat ketiga, Panglima Mahkota Wilayah (PMW).

Selain itu, katanya, seramai 49 individu menerima darjah kebesaran pangkat keempat iaitu Johan Mahkota Wilayah (JMW), 76 menerima pangkat kelima, Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), 31 individu dianugerahi pangkat keenam, Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 68 individu dianugerahi darjah kebesaran pangkat ketujuh, Pingat Pengakuan Mahkota Wilayah (PPW).

"Tarikh penyempurnaan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2021 sedang ditentukan dan akan dimaklumkan kepada para penerima.

"Walaupun istiadat belum diadakan, selaras dengan peruntukan di bawah Statut Darjah Yang Mulia Mahkota Wilayah, Ahli-Ahli Darjah Kebesaran SUMW, SMW dan PMW boleh pada setiap masa memiliki, menggunakan dan menikmati gelaran sebelum nama mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Annuar berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan mengucapkan tahniah dan menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala jasa dan bakti yang disumbangkan oleh semua penerima anugerah tersebut.

Antara 24 penerima SMW yang membawa gelaran Datuk Seri ialah Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasara; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar.

Darjah kebesaran SMW turut dikurniakan kepada mereka yang memberikan sumbangan besar kepada pembangunan bandar raya Kuala Lumpur iaitu Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Nor Hisham Ahmad Dahlan; bekas Ketua Pengarah DBKL, Datuk Seri Dr Noordin Ab Razak serta Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Sementara itu, seramai 81 individu dianugerahkan PMW yang membawa gelaran Datuk termasuk Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Turut menerima anugerah PMW ialah Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Ajib Ismail; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah dan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.

PMW turut dianugerahkan kepada atlet sukan iaitu bekas jaguh badminton negara, Datuk Abd Rashid Mohd Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit serta Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.

Sasterawan Negara, Datuk Profesor Dr Siti Zainon Ismail dan penulis lirik serta skrip terkenal, Datuk Habsah Hassan turut menerima anugerah sama.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!