JKM mohon hak jagaan sementara dua beradik

Latipah
Latipah
A
A
A

MELAKA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan mendapatkan permohonan mahkamah mengenai hak penjagaan sementara dua adik kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang meninggal dunia dipercayai didera di Taman Krubong Jaya.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Latipah Omar berkata, permohonan akan dibuat di Mahkamah Ayer Keroh pada Isnin ini di bawah Seksyen 17(1)(j) Akta Kanak-kanak 2001.

Menurutnya, permohonan itu bagi memastikan kebajikan dua beradik tersebut tidak terabai kerana pasangan suami isteri iaitu ibu bapa mereka ditahan reman sejak Sabtu lalu.

Berdasarkan siasatan katanya, JKM mendapati sukar nenek mangsa yang tinggal di Jasin menjaga dua kanak-kanak terbabit yang berusia dua dan empat tahun kerana faktor usia selain sudah menjaga kakak sulung mangsa yang berusia sembilan tahun.

"Kita akan mendapatkan perintah mahkamah sebelum menempatkan dua kanak-kanak terbabit di rumah kebajikan di negeri ini supaya nasib mereka mendapat pembelaan.

"Kita tidak mahu kejadian sedih ini berlaku kepada kanak-kanak," katanya selepas mengiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang melawat keluarga angkat kanak-kanak lelaki itu di Homestay Sungai Putat, Batu Berendam di sini, pada Ahad.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya, petang Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya.

Artikel Berkaitan:

Latipah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning berkata, setakat ini keadaan dua beradik itu dalam keadaan baik namun mereka tetap akan dibawa ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Pada masa sama, JKM juga akan memberi perkhidmatan kaunseling kepada keluarga angkat yang masih bersedih kerana mereka sekeluarga yang menjaga mangsa sejak kanak-kanak malang itu berusia dua bulan," katanya.