AES: Untunglah DAP: Pemuda Umno

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Umno hari ini menyindir Amanah susulan kenyataan Naib Presidennya, Hasanuddin Mohd Yunus yang mempertahankan Pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan DAP beruntung kerana memiliki individu yang akan mempertahankan setiap tindakan dengan dalil-dalil agama.

“Menurut Amanah pemasangan sistem AES adalah menepati Maqasid Syariah. Untunglah DAP punya ulamak yang akan mempertahankan setiap tindakan mereka dengan dalil-dalil agama.

“Lepas ini makin banyaklah pusingan U dalam polisi dan dasar kerajaan,” katanya melalui Facebook, hari ini.

Beliau turut berkongsi kenyataan Hasanuddin bertajuk ‘Satu Tindakan Islamik’.

Menurut kenyataan Ahli Parlimen Hulu Langat itu, beliau sempat berborak dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebelum menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya Pakatan Harapan.

“Kesimpulan perbualan kami, adalah menepati Maqasid Syariah apabila pemasangan AES dan saman dikeluarkan bertujuan menjaga nyawa pemandu itu sendiri serta penumpang kenderaannya, keselamatan pengguna lebuhraya serta harta benda yang ada di atas lebuh raya itu.

“Tanpa ketegasan kerajaan; ia akan membuat pemandu leka memandu dengan laju seenaknya sahaja,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga mengimbau jaminan diberikan Anthony bahawa alat dan kamera digunakan bukan sembarangan tetapi mempunyai sijil kelulusan serta kadar kesilapan sangat minima bagi mengelakkan penganiayaan kepada pengguna.