Perwakilan Pemuda UMNO tuntut DAP minta maaf

Laporan Sinar Harian pada Khamis. (Gambar kecil: Ahmad Wafi, Aliff Firdaus, Mohamad Naqiuddin)
Laporan Sinar Harian pada Khamis. (Gambar kecil: Ahmad Wafi, Aliff Firdaus, Mohamad Naqiuddin)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perwakilan Pemuda UMNO menyokong sepenuhnya supaya DAP memohon maaf selain menarik balik segala tohmahan dilemparkan terhadap parti berkenaan yang telah mengguris hati ahli sehingga kini.

Menurut Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Kepala Batas, Mohamad Naqiuddin Mohd Noor, perkara itu penting berikutan persengketaan antara parti itu dengan DAP sejak sekian lama susulan ideologi berbeza.

Justeru, beliau berkata, Pemuda UMNO seluruh Malaysia mempertahan kenyataan daripada Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh yang menuntut permohonan maaf tersebut sebelum mereka 'move on' daripada sebarang permusuhan politik sejak dahulu.

"Jadi bagi melihat keadaan ini menjadi harmoni dan move on selain tak ada perasaan sakit hati maka perlu ada permohonan maaf daripada DAP.

"Saya berpandangan dengan satu permohonan maaf, UMNO pun bersedia nak maafkan... Kami bersama-sama dengan Dr Muhamad Akmal dalam perkara ini.

"Kita boleh move on tapi lebih baik move on dengan saling maaf-memaafkan. Oleh itu, DAP perlu mulakannya dengan minta maaf," katanya kepada Sinar Harian pada persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

Pada Khamis, Pemuda UMNO menuntut permohonan maaf daripada DAP dan menarik balik segala tohmahan yang dilemparkan terhadap parti itu yang telah mengguris hati ahli sehingga kini.

Dr Muhamad Akmal berkata, tindakan itu berupaya melembutkan hati ahli-ahli UMNO yang masih meragui kejujuran DAP untuk bersahabat.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abd Hadi berkata, permohonan maaf daripada DAP wajar kerana parti berkenaan juga pernah membuat permohonan maaf kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) semasa ingin menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Justeru, beliau berkata, tindakan sama patut dibuat terhadap UMNO kerana sebelum ini terdapat kenyataan daripada DAP yang menyinggung perasaan terutama pada UMNO dan orang Melayu.

"Kita sokong sepenuhnya kenyataan dikeluarkan Ketua Pemuda UMNO dan permohonan maaf itu bukan untuk bergaduh tetapi menstabilkan selain memberi kefahaman kepada akar umbi supaya boleh terima kerjasama baharu ini," jelasnya.

Selain itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Ahmad Wafi Sahedan berkata, beliau dan keseluruhan akar umbi menyokong tindakan permohonan maaf daripada DAP bagi menjernihkan kembali hubungan.

Menurutnya, ini kerana DAP pernah melemparkan tohmahan terhadap UMNO yang telah melukakan hati ahli sehingga kini.

"Ini pendirian Pemuda UMNO sendiri untuk menuntut permohonan maaf sebab biarlah ia adil.

"Sekiranya kita mahu bekerjasama maka ia perlu dengan minta maaf dan biarlah bermula kosong-kosong' dahulu," jelasnya.