Beku jualan senjata tapi Yemen masih berperang

Tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi terlibat dalam perang saudara di Yemen sejak tahun 2015. - AFP
Tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi terlibat dalam perang saudara di Yemen sejak tahun 2015. - AFP
A
A
A

PENTADBIRAN baharu Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden daripada parti Demokrat baru-baru ini membekukan penjualan jet-jet pejuang F-35 dan senjata-senjata pertahanan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

Pembekuan itu dibuat selepas Biden mengangkat sumpah jawatan Presiden AS tetapi penjualan tersebut diluluskan di bawah pentadbiran bekas Presiden negara itu, Donald Trump pada hari terakhir beliau berkhidmat di Rumah Putih.

Pakej itu bernilai AS$23.37 bilion (RM94.47 bilion) melibatkan penjualan 50 jet pejuang F-35 keluaran syarikat Lockheed Martin, bom-bom dan 18 dron MQ-9 canggih daripada syarikat General Atomics kepada UAE serta kira-kira 3,000 bom panduan tepat bernilai AS$290 juta (RM1.1 bilion) untuk kegunaan Arab Saudi.

Joe Biden
Joe Biden

Menurut Pentagon, sebelum Biden menjadi Presiden AS, jualan yang diluluskan kepada Arab Saudi itu bertujuan untuk memperbaiki kemampuan pertahanan negara beraja tersebut bagi menghadapi ancaman keselamatan negara berkenaan pada masa kini dan masa depan.

Pengumuman penjualan jet F-35 kalis radar, dron dan bom itu dibuat selepas UAE menandatangani perjanjian untuk menormalkan hubungan dengan Israel pada tahun lalu.

Sebelum jet itu dijual kepada UAE, AS tidak membenarkan mana-mana negara di Asia Barat untuk membelinya kecuali Israel kerana bimbang peralatan pertahanan tersebut akan memusnahkan keunggulan ketenteraan negara Yahudi di rantau tersebut.

Setakat ini tidak diketahui bila jet pejuang, dron dan bom itu sepatutnya tiba di kedua-dua negara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Semasa bertanding untuk merebut jawatan Presiden AS pada Pilihan Raya Presiden pada 3 November tahun lalu, Biden dilaporkan berjanji untuk menamatkan penjualan senjata sebagai usaha untuk menamatkan perang yang diketuai perikatan Arab Saudi ke atas Yemen pada tahun 2015.

Justeru, pada awal pentadbiran Biden, Jabatan Pertahanan AS menyatakan keputusan penjualan itu perlu dikaji semula namun persoalan timbul adakah pembekuan tersebut bermakna Washington akan menghentikan terus jualan berkenaan?

Keputusan sama ada akan menghentikan jualan peralatan keselamatan itu masih belum diketahui tetapi perang saudara di Yemen itu telah mengakibatkan lebih 220,000 orang terbunuh dan mewujudkan krisis kemanusiaan sejak ia bermula pada lewat tahun 2014.

Perang di Yemen itu telah menyebabkan tentera gabungan ditubuhkan bagi mempertahankan kerajaan Presiden Abdrabbuh Mansur Hadi yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan terpaksa menghadapi tentangan daripada kumpulan bersenjata yang mendapat bantuan Iran seperti Houthi.

Penjualan jet pejuang F-35 buatan syarikat Lockheed Martin ditangguhkan AS bagi mengkaji semula keputusan itu yang telah dibuat oleh bekas Presiden, Donald Trump sebelum ini.
Penjualan jet pejuang F-35 buatan syarikat Lockheed Martin ditangguhkan AS bagi mengkaji semula keputusan itu yang telah dibuat oleh bekas Presiden, Donald Trump sebelum ini.

UAE, Mesir, Kuwait, Jordan dan Bahrain turut menyertai perikatan tentera yang diketuai oleh Arab Saudi itu.

Bagaimanapun, seorang wakil kumpulan Houthi, Mohammad Abdul Salam memberitahu portal majalah Newsweek bahawa pentadbiran baharu AS sepatutnya menekan negara-negara Arab untuk menamatkan konflik di Yemen.

Abdul Salam juga menyatakan sekatan ke atas negara tersebut juga perlu dibuka kembali untuk membolehkan pengaliran barang ke Yemen dilakukan bagi menyelamatkan nyawa manusia sekali gus memulakan proses politik di negara itu.

Pada Disember tahun lalu, AS turut mengumumkan penjualan peralatan ketenteraan kepada Kuwait bernilai AS$4 bilion (RM16.17 bilion) yang termasuk lapan buah helikopter Apache AH-64E dan peralatan pertahanan kepada Mesir bernilai AS$65.6 juta (RM265.19 juta) untuk pesawat-pesawat negara itu.

Biden tidak pula membekukan penjualan peralatan keselamatan itu kepada kedua-dua negara tersebut yang diluluskan ketika AS ditadbir oleh Trump daripada parti Republikan pada tahun lalu.

Arab Saudi pula baru-baru ini berjaya memintas beberapa peluru berpandu yang dilancarkan dari Yemen dan diakui dilakukan oleh kumpulan Houthi ke sebuah kemudahan minyak di Jeddah dan menyebabkan kebakaran tetapi tidak melibatkan kematian pada tahun lalu.

Ibu kota Riyadh juga digegarkan dengan beberapa serangan peluru berpandu dan dron dipercayai dari Yemen tetapi berjaya dipintas oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Justeru, konflik di Yemen masih belum dapat diselesaikan dan krisis kemanusiaan masih lagi berterusan di negara berkenaan walaupun AS menangguhkan penjualan senjata-senjata itu dan peralihan kepimpinan sudah berlaku di Washington.