Pengusaha agensi pelancongan jadi usahawan ikan masin

Pengusaha ikan masin, Khairul Nizam Amat Zaini, 42, menunjukkan ikan masin yang dijualnya ketika ditemui di Taman Selayang Mutiara baru-baru ini. - Foto Bernama
Pengusaha ikan masin, Khairul Nizam Amat Zaini, 42, menunjukkan ikan masin yang dijualnya ketika ditemui di Taman Selayang Mutiara baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Demi menyara keluarga, dua rakan kongsi, Khairul Nizam Amat Zaini, 42, dan Nor Azizan Adnan, 49, beralih arah menjadi pengusaha ikan masin selepas lebih tujuh tahun terlibat dalam industri pelancongan.

Segala-galanya bermula apabila kedua-duanya mula berjinak-jinak menjalankan perniagaan ikan segar yang diambil dari Tanjung Karang, Kuala Selangor sejak setahun lalu setelah negara dilanda pandemik Covid-19 sehingga dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Apabila negara dilanda wabak, industri pelancongan terus merudum. Kami perlu mencari alternatif bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Jadi, kami pun bermula sebagai penjual ikan segar, namun berubah untuk mengusahakan ikan masin sejak Disember 2020 selepas melihat potensinya,” kata Khairul Nizam.

Bercerita lanjut, pemilik My Altitute 30 Travel & Tours Sdn Bhd itu berkata, perniagaan ikan masin menerusi label Tiga Budak Travel ini tercetus apabila terdapat lebihan ikan segar yang tidak terjual.

Khairul Nizam berkata mereka kemudiannya mempelajari pembuatan ikan masin melalui Youtube.

Pengusaha ikan masin, Khairul Nizam Amat Zaini, 42, mengeringkan ikan masin yang diusahakannya ketika ditemui di Taman Selayang Mutiara baru-baru ini.
 - Foto Bernama
Pengusaha ikan masin, Khairul Nizam Amat Zaini, 42, mengeringkan ikan masin yang diusahakannya ketika ditemui di Taman Selayang Mutiara baru-baru ini.
 - Foto Bernama

“Sejak itu, kami mencuba sendiri dengan membeli ikan-ikan dari nelayan, memerap dengan garam dan menjemurnya di bawah matahari terik untuk beberapa hari.

Artikel Berkaitan:

“Semua ikan ini akan disiang dan dibersihkan untuk mengelakkan tindak balas kuman yang boleh menjejaskan mutu hasilnya,” katanya.

Aspek kebersihan sangat dititikberatkan sepanjang proses pembuatan ikan masin itu bagi memastikannya bebas kuman sekali gus menjadikannya tahan lebih lama.

Antara ikan yang popular dijadikan sebagai ikan masin ialah gelama, tenggiri, ikan bulu ayam dan pelaling yang dijual antara RM10 hingga RM70 sekilogram.

“Awalnya, kami bermula dengan lima kilogram pelbagai jenis ikan. Alhamdulillah, dapat sambutan yang memberangsangkan.

“Sekarang, walaupun menggunakan kaedah tradisional, kami berupaya menghasilkan 80 sehingga 100 kilogram ikan masin dalam tempoh seminggu,” katanya yang mempromosi dan memasarkan hasil ikan masin secara dalam talian menerusi pelbagai platform media sosial.

Susulan itu, Khairul Nizam berkata, melihat kepada potensi perniagaan sedia ada, mereka merancang untuk membuka kedai suatu hari nanti.

"Kami melihat industri pelancongan tidak akan berkembang dalam tempoh tiga tahun ini jadi kami memikirkan alternatif untuk meneruskan perniagaan ini,” katanya. - Bernama