Nak pinjam RM5,000 tapi ditipu hampir RM14,000

Seorang lelaki kerugian RM13,960 akibat ditipu sindiket pinjaman tidak wujud.
Seorang lelaki kerugian RM13,960 akibat ditipu sindiket pinjaman tidak wujud.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki kerugian RM13,960 akibat ditipu sindiket pinjaman tidak wujud sedangkan hanya mahu membuat pinjaman RM5,000.

Mangsa berusia 46 tahun itu berurusan dengan seorang lelaki hanya dikenali dalam aplikasi WhatsApp berkaitan urusan pinjaman wang sebelum memaklumkan yang dia mahu membuat pinjaman RM5,000, pada awal Januari lepas.

Menurut sumber, mangsa beralamat dari Kuala Ibai, di sini dimaklumkan yang dia perlu membuat bayaran RM243 sebulan dalam tempoh tiga tahun.

"Selepas menyatakan persetujuan, suspek meminta mangsa membuat bayaran RM800 sebagai wang deposit ke dalam akaun bank diberikan.

"Semasa mangsa berada di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) selepas melakukan transaksi wang 'deposit', suspek menghubunginya memaklumkan yang namanya baru dikesan sudah disenaraihitamkan sebelum meminta memasukkan lagi RM2,000 ke akaun sama.

"Perkara sama berlarutan dan suspek sering meminta wang dengan memberi pelbagai alasan bayaran caj perkhidmatan dikenakan sehingga lelaki itu menanggung kerugian sebanyak RM13,960 selepas melakukan lima transaksi ke dalam lima akaun berbeza diberi suspek," katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila suspek tidak henti-henti meminta dimasukkan wang dengan memberi pelbagai alasan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.