Jakim lancar Kod QR SmartHalal

Aplikasi SmartHalal, yang dibangunkan berdasarkan Sistem Pensijilan Halal Malaysia (MYeHALAL), merupakan hasil kerjasama strategik jawatankuasa bersama MCMC, Jakim dan JAIN.
Aplikasi SmartHalal, yang dibangunkan berdasarkan Sistem Pensijilan Halal Malaysia (MYeHALAL), merupakan hasil kerjasama strategik jawatankuasa bersama MCMC, Jakim dan JAIN.
A
A
A

PUTRAJAYA- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Khamis melancarkan Kod QR pada aplikasi telefon pintar SmartHalal sebagai inisiatif memudahkan rakyat mengetahui status halal berhubung sesuatu produk atau perkhidmatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Kod QR yang dibangunkan hasil kerjasama strategik Jawatankuasa Bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) turut memudahkan pemain industri di luar memperoleh pelbagai informasi berkaitan pensijilan halal terkini dengan lebih pantas.

"Penggunaan Kod QR SmartHalal ini berpotensi meningkatkan permohonan dan pemilikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM)," katanya dalam ucapan berhubung pengumuman inisiatif tersebut secara langsung menerusi Facebook.

Menurutnya, Kod QR dapat menyimpan maklumat lebih banyak berbanding kod produk universal (UPC) kerana ia mengandungi maklumat secara menegak serta mendatar.

"Hanya sekali imbas menggunakan aplikasi SmartHalal yang disediakan, anda akan memperoleh pelbagai maklumat pensijilan halal yang ingin dikongsikan," katanya.

Beliau berkata, kod yang terdiri daripada modul hitam disusun dalam pola segi empat pada latar putih membolehkan maklumat dihantar dari dunia fizikal ke peranti mudah alih.

"Penggunaan Kod QR juga bebas daripada sebarang lesen dan kini diterbitkan sebagai piawai ISO," katanya.

Zulkifli berkata, Jakim akan terus mengemaskini dan menambah baik sistem Kod QR pada aplikasi telefon pintar SmartHalal dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

"Ini bagi memastikan ia sentiasa relevan dan mengikut perkembangan semasa untuk digunakan oleh semua pihak," katanya

Aplikasi SmartHalal dibangunkan berdasarkan sistem MYeHALAL, iaitu sistem bagi memperoleh SPHM yang dibangunkan sejak tahun 2007.

Ia disediakan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan lokasi serta maklumat tentang pembekal yang telah diiktraf dan diberi pensijilan halal Malaysia oleh pihak berautoriti di negara ini.

Pada perkembangan sama, Zulkifli berkata, Jakim sentiasa komited dalam menangani isu halal yang menular di media sosial.

"Untuk makluman, sepanjang tahun 2020, lebih daripada 20 penjelasan rasmi berkenaan isu halal yang menular di media sosial dikeluarkan melalui Facebook Bahagian Hab Halal, Jakim seterusnya meredakan keresahan pengguna terhadap sesuatu dakwaan yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Isu daging misalnya, saya telah mengarahkan Jakim mengatur pertemuan dengan agensi berkaitan serta syarikat pengimport daging dan berjaya untuk mencari penyelesaian yang harmoni tanpa menjejaskan integriti kes berkenaan yang sedang dibicarakan di mahkamah," katanya.

Sehubungan itu, pengguna diseru merujuk pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum menyebarkan sebarang isu berkaitan halal.

"Ia bagi mengelak salah faham dan menimbulkan keresahan serta menjejaskan keharmonian hidup antara kaum di negara ini," katanya.