X

Kindly register in order to view this article
!

Jemaah digalak bawa plastik simpan kasut

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam memperkenan semua masjid dan surau di negeri ini untuk mendirikan solat Jumaat, fardu dan solat jenazah dengan kehadiran maksimum 40 orang warganegara berusia 18 hingga 70 tahun.
A
A

IPOH - Jemaah di Perak digalakkan membawa karung atau plastik untuk menyimpan kasut ketika menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pendekatan itu bagi mengelak kesesakan di hadapan pintu keluar dan masuk.

"Hanya satu pintu masuk dan beberapa pintu keluar dibenarkan dibuka dengan kawalan keselamatan pihak jawatankuasa masjid dan surau.

"Jadi untuk mengelak berlakunya kesesakan, jemaah digalakkan membawa plastik untuk tujuan menyimpan kasut ketika solat dan boleh dibawa ke ruang solat.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Nazrin perkenan solat Jumaat di masjid, surau seluruh Perak

"Sebaik selesai solat, jemaah hendaklah terus keluar dari pekarangan masjid mengikut pintu yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Garis panduan yang dikeluarkan JAIPk berhubung kebenaran solat berjemaah di masjid dan surau.
Garis panduan yang dikeluarkan JAIPk berhubung kebenaran solat berjemaah di masjid dan surau.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam memperkenan semua masjid dan surau di negeri ini untuk mendirikan solat Jumaat, fardu dan solat jenazah dengan kehadiran maksimum 40 orang warganegara berusia 18 hingga 70 tahun.

Kebenaran itu termasuk surau di dalam bangunan pejabat, institusi, universiti, kolej, sekolah dan kilang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohd Yusop berkata, ketetapan lain seperti pemakaian pelitup muka, membawa sejadah sendiri dan mengambil wuduk dari rumah, masih digunapakai.

Katanya, jemaah juga diwajibkan membawa bersama kad pengenalan untuk tujuan pemeriksaan sebelum masuk ke ruang solat.

"Bagi mereka yang mahu menunaikan solat fardu berjemaah, mereka perlu hadir sekurang-kurangnya 30 minit sebelum azan kerana pintu masjid akan dikunci sebaik iqamat dilaungkan," katanya.

Beliau berkata, JAIPk telahpun mengeluarkan garis panduan pelaksanaan solat itu semalam dan boleh dimuat naik melalui Facebook rasmi jabatan.

"Garis panduan ini terpakai berkuat kuasa serta-merta sehingga dikeluarkan apa-apa ketetapan baharu," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!