X

Kindly register in order to view this article
!

Asyraf teruk diasak Exco Pemuda UMNO jutawan

Program bual bicara 'Minda Profesor Negara Mengenai Masa Depan Malaysia: Kemana Kita' yang diadakan secara dalam talian pada Rabu.
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan dakwaan bahawa ahli parti yang memegang jawatan sebagai Exco Pemuda UMNO adalah dalam kalangan jutawan.

Asyraf turut menafikan ada kalangan Exco Pemuda UMNO yang datang ke ibu negara untuk menghadiri mesyuarat dengan menggunakan kereta mewah seperti Range Rover dan Porsche.

"Yang pertama sekali saya perlu perbetulkan, saya tidak pernah tengok Exco saya (pandu) Porsche. Ini persepsi dan dan kadangkala kita tidak boleh hanya bercakap," katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Muhammad Asri Mohd Ali dalam program bual bicara 'Minda Profesor Negara Mengenai Masa Depan Malaysia: Kemana Kita'.

Keadaan lebih tegang apabila Muhammad Asri terus mengasak Asyraf dengan dakwaan Exco Pemuda UMNO juga tidak mampu untuk memegang jawatan itu tanpa menggunakan wang sambil mencabar Asyraf menamakan seorang Exconya yang bukan jutawan.

Aysraf dengan tenang menjawab dakwaan berkenaan dengan mengambil contoh dirinya yang menang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO tanpa menggunakan wang sebagai sogokan kepada perwakilan.

“Saya menang bukan kerana wang, saya menang bukan kerana duit. Prinsip saya jelas. Saya pernah kalah kerana wang dan saya menang di saat UMNO tidak ada apa-apa dan saya tidak ada apa-apa untuk ditawarkan.

“Saya pernah menjadi penasihat syariah, menentukan halal haram produk di bank. Takkanlah saya tergamak untuk melakukan perbuatan yang bertentangan dengan prinsip saya.

“Jadi tidak boleh Dr Asri memberikan satu kenyataan yang boleh membentuk satu persepsi fitnah,” katanya.

Situasi panas bual bicara itu tidak terhenti di situ, apabila Muhammad Asri sekali lagi mencelah jawapan Asyraf dan mendakwa, lebih 99 peratus ketua-ketua UMNO bahagian juga adalah golongan jutawan.

Muhammad Asri mendakwa banyak kajian akademik yang menyokong kenyataannya itu termasuk yang ditulis sendiri olehnya pada 2002 dan tulisan itu didakwanya diambil daripada fakta yang sebenar.

Dakwaan itu menyebabkan Aysraf kelihatan 'keliru dan janggal' walaupun sebelum itu beliau menegaskan kepada Muhammad Asri bahawa sebagai seorang ahli akademik mereka perlu berbicara berasaskan fakta.

Keadaan hanya reda selepas Muhammad Asri kemudiannya meminta Asyraf menjawab soalan asal tentang pendidikan bagaimanakah yang boleh diadakan bagi melahirkan pemimpin yang mempunyai integriti.

Asyraf berkata, rakyat tidak harus hanya menuding jari kepada pemimpin atas semata-mata sebaliknya mula mendidik integriti daripada diri sendiri kepada ahli keluarga seterusnya kepada masyarakat dan negara.

“Sebab itulah kata Saidina Ali, bagaimana kamu, begitulah kamu dipimpin. Pemimpin kamu adalah corak siapa yang dipimpin,” katanya.

Bual bicara itu turut disertai bekas Menteri Belia dan Sukan yang juga merupakan pengasas bersama Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!