Fasa pertama BPR dipercepat akhir Februari: Tengku Zafrul

Kerajaan telah mempercepatkan pelaksanaan fasa pertama Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dari Mei kepada akhir Februari ini.
Kerajaan telah mempercepatkan pelaksanaan fasa pertama Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dari Mei kepada akhir Februari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah mempercepatkan pelaksanaan fasa pertama Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dari Mei kepada akhir Februari ini, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sehubungan itu, beliau berkata, proses permohonan baharu BPR telah dibuka sehingga 15 Februari ini menerusi pautanhttps://bpr.hasil.gov.my.

Menurutnya, bantuan itu diharap dapat memberi manfaat kepada lebih lapan juta penerima B40 yang diluluskan di bawah Bantuan Prihatin Nasional fasa kedua (BPN 2.0) dan Bantuan Sara Hidup 2020 selain permohonan baharu yang akan diluluskan kelak.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kalangan penerima BPN 2.0 agar bersabar kerana wang yang akan dikreditkan membabitkan jumlah yang besar dan memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk pengkreditan sepenuhnya kepada semua penerima.

Menurutnya, ini berikutan terdapat kekeliruan membabitkan bayaran BPN 2.0 yang mana fasa kedua BPN 2.0 dengan nilai RM2.38 bilion telah mula disalurkan mulai 21 Januari 2021.

“Untuk makluman, bagi tempoh 21-24 Januari 2021, sebanyak 6.4 juta akaun telah dikreditkan (dengan wang tersebut). Bagi tempoh 25-29 Januari 2021, sebanyak 3.8 juta akaun sedang atau akan dikreditkan.

“Mulai 25 Januari 2021, kira-kira 750,000 penerima yang tiada akaun bank sudah mula membuat tuntutan tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional di Semenanjung Malaysia bagi penerima B40 dan M40,” katanya dalam Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-38 secara maya pada Rabu.

Selain itu, menyentuh perkembangan mengenai Covid-19, Tengku Zafrul berkata, seramai 4,427 individu disahkan pulih daripada virus berkenaan sejak 24 Januari lepas.

Artikel Berkaitan:

“Harapan kita adalah supaya trend sebegini akan berterusan dan ini dapat menaikkan semangat kita untuk terus mematuhi SOP bagi membendung penularan Covid-19,” katanya. - Bernama