X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Jihad perangi rasuah bukan bersifat retorik

Hussamuddin
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jihad memerangi rasuah melalui kempen atau gerakan yang dinamakan Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa bukan bersifat retorik semata-mata.

Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub sebaliknya berkata, ia merupakan satu kebangkitan secara besar-besaran untuk menolak amalan rasuah daripada terus menjadi perosak kepada negara.

"Rasuah sudah berakar umbi dalam masyarakat Malaysia. (Sama ada) Cina, India, Iban (pun). Ia bukan masalah orang Melayu sahaja, bukan masalah orang politik sahaja tetapi berlaku di semua peringkat dan di mana-mana sahaja.

"Rasuah sudah dianggap perkara biasa, sudah jadi budaya (dalam negara). Jadi kenapa sekarang saya terpanggil untuk memulakan gerakan secara besar-besaran ini?.

"Saya rasa sudah sampai masanya (untuk. bangkit banteras rasuah). Dengan pandemik Covid-19 (di mana) kita sudah terkurung selama setahun. Ini merupakan satu isyarat kepada rakyat di Malaysia dan seluruh dunia untuk kita perbetulkan kembali," katanya pada program 'Perspektif Datuk Hussamuddin Yaacub, Jihad Perangi Rasuah' yang disiarkan secara langsung di Astro Awani pada Selasa.

Program bual bicara yang berlangsung selama 30 minit itu dikendalikan Nazri Kahar.

Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, usaha untuk memerangi rasuah bukan perkara baharu tetapi telah dilaksanakan secara berterusan sejak sekian lama.

Namun katanya, sehingga kini belum ada tanda gejala buruk dan jijik itu dapat dihapuskan kerana masalah tidak diselesaikan melalui 'puncanya'.

"Kalau hendak selesaikan masalah rasuah ini kita kena pergi kepada akar kepada masalah (iaitu) punca masalah.

"Punca masalahnya ialah nilai pegangan manusia. Kita perlu bermula dengan diri kita dahulu untuk dibersihkan (sebarang unsur rasuah)," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Hussamuddin turut mengesyorkan agar tempoh Proklamasi Darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini sebagai peluang terbaik untuk menjayakan gerakan membanteras rasuah secara menyeluruh.

Ini kerana katanya, dalam tempoh ini hanya tiga pihak yang mempunyai kuasa iaitu ALLAH, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakyat.

"Rasuah bukan isu politik semata-mata tapi isu ekosistem. Ekosistem di mana terlampau ramai orang yang terlibat dengan rasuah, budaya memberi rasuah dan menerima rasuah dan budaya boleh terima rasuah.

"InsyaALLAH kalau kita ada keikhlasan kesungguhan (untuk banteras rasuah) kita akan dapat bina Malaysia baharu dengan naratif baharu, yang betul-betul adil dan saksama," katanya.

Pada 16 Januari lalu, Hussamuddin melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa bagi membanteras rasuah dan berjaya mendapat respons positif daripada pelbagai pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tidak bertujuan untuk mengambil alih tugas mana-mana pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebaliknya gerakan massa oleh Sinar Harian dengan mewujudkan Sinar Rasuah Busters itu sebenarnya sebagai pembuka laluan bagi mengajak rakyat bangkit membanteras rasuah.

Idea gerakan memulihkan moral bangsa tercetus dengan melihat kereputan sistem nilai, integriti dan 'bad governance' dalam negara ketika ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!