Darurat: Penjajaran semua sumber kerajaan

Mohd Zuki Ali
Mohd Zuki Ali
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan melakukan penjajaran sementara terhadap kesemua sumber dan fasilitinya termasuk kakitangan awam berikutan pelaksanaan Ordinan Darurat.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, tindakan itu merupakan antara fokus utama mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat dan telah dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Pelaksanaan penjajaran bagi menyokong perkhidmatan kesihatan dan keselamatan negara yang sedang bergelut dengan pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, aset kerajaan yang kurang optimum seperti kenderaan jabatan boleh dikongsi bagi kegunaan perkhidmatan Persekutuan dan kerajaan negeri.

"Ia untuk menyokong kelancaran operasi perkhidmatan kritikal agar lebih bersepadu dan terselaras," katanya.

Beliau berkata, bangunan dan fasiliti kerajaan yang bersesuaian akan dikenalpasti di seluruh negara untuk dijadikan sebagai pusat ujian calitan Covid-19.

"Jabatan Perkhidmatan Awam akan bertanggungjawab menyelaras perkara ini bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi lain yang terlibat," katanya.

Mohd Zuki berkata, untuk memastikan koordinasi bersistematik bagi jaminan akses kesihatan yang menyeluruh dan bersepadu dapat dilaksanakan bagi pesakit Covid-19 serta bukan Covid-19, keupayaan perkhidmatan hospital awam dan swasta diintegrasikan.

Artikel Berkaitan:

"Pengoperasian hospital awam termasuk hospital universiti, Hospital Angkatan Tentera dan hospital swasta akan diletakkan secara hibrid berdasarkan konsep hospital kluster di bawah Pusat Kawalan Covid-19 Bersepadu," katanya.

Menurutnya, makmal sedia ada di jabatan kerajaan dan universiti awam akan dipertingkatkan kapasiti bagi tujuan pengujian dan pengesanan Covid-19 berskala besar.

"Kerajaan juga akan melaksanakan sumber perubatan seperti peralatan, pakaian perlindungan diri (PPE), ubat-ubatan mengikut keperluan hospital.

"Ia terutamanya bagi perkhidmatan kesihatan umum termasuklah memobilisasi anggota perubatan seperti jururawat dari hospital swasta khususnya yang mempunyai kepakaran tertentu untuk bertugas sementara di hospital awam," katanya.

Tambahnya, mekanisme pembiayaan pesakit Covid-19 oleh pihak insurans di hospital swasta sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia dan industri insurans.

"Buat masa ini, peranan sektor swasta diperkasakan bagi merawat pesakit Covid-19 yang mampu membiayai sendiri kos perubatan dan rawatan.

"KKM akan terus melaksanakan libat urus dengan pihak hospital swasta dan pihak berkepentingan lain dalam memastikan kelancaran pengurusan Covid-19 serta perkhidmatan kesihatan umum tidak terjejas," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pentadbiran perkhidmatan awam dalam tempoh darurat tidak akan terjejas malahan berfungsi seperti sedia ada.

"Ini bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan kerajaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Mohd Zuki turut menyeru seluruh rakyat agar memastikan segala maklumat dan informasi yang diterima dipastikan kesahihannya.

"Ini kerana penyebaran maklumat yang tidak sahih akan menjejaskan usaha kita dalam memerangi pandemik Covid-19.

"Marilah kita terus berdoa agar pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara dapat diatasi sepenuhnya demi menjaga kemakmuran, kestabilan ekonomi dan ketenteraman awam," katanya.

Terdahulu Mohd Zuki sepatutnya muncul di sidang akhbar pengurusan darurat di kaca televisyen pada petang Selasa, namun terpaksa membatalkannya berikutan sedang menjalani kuarantin kendiri sehingga Ahad.

Beliau diisytiharkan sebagai kontak rapat individu yang disahkan positif Covid-19 pada 22 Januari lalu.