Tanah perlu dipulihkan selepas penguatkuasaan diambil

Dr K Kalithasan
Dr K Kalithasan
A
A
A

GOMBAK- Pemulihan tanah perlu dilakukan bagi mengelak berlakunya impak kerosakan alam di kawasan sekitarnya.

Koordinator Program Penjagaan Sungai di Pusat Alam Sekitar Global (GEC), Dr K Kalithasan berkata, isu pembukaan tanah dan penerokaan di Gombak telah lama berlaku dan ada antaranya telah diambil tindakan disebabkan tiada kelulusan.

Menurutnya, pihak yang terlibat menyebabkan kerosakan alam perlu bertanggungjawab melakukan pemulihan tanah.

"Apabila arahan kerja tanah dihentikan disebabkan melanggar peraturan, kawasan itu tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja.

"Sepatutnya tanah tersebut perlu dipulihkan bagi mengelak sungai terdedah (kepada risiko). Itu antara sebab apabila hujan, sungai dipenuhi mendapan lumpur," katanya mengulas laporan Sinar Harian 'Sungai UIAM dipenuhi lumpur, alam tercemar lagi' pada Isnin.

Beliau berkata, pihak berkuasa boleh menggunakan peruntukan sedia ada untuk mengheret pelaku supaya bertanggungjawab di atas kerosakan yang dilakukan.

"Majlis Perbandaran Selayang boleh arahkan pelaku yang melakukan pembukaan tanah itu membayar ganti rugi atau memperbaiki tanah itu.

"Penguatkuasaan perlu diperbaiki, ambil tindakan berdasarkan bukti sedia ada sehingga pelaku bertanggungjawab di atas kerosakan yang dilakukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penguatkuasaan itu juga termasuk bagi pemilik yang melakukan projek di atas tanah persendirian.

"Walaupun pembangunan dijalankan di atas tanah persendirian, projek perlu mendapat kelulusan, mengikut prosedur bagi mengelak kacau ganggu pembangunan di sekelilingnya," katanya.

Ditanya berkaitan keperluan pindaan akta jelasnya, pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah meminda undang-undang termasuk had denda dan penjara.

"Saya rasa paling penting kini adalah pemantauan dan penguatkuasaan, " katanya.