‘Sistem semester perlu perancangan teliti’

Habibah - Foto Fail Bernama
Habibah - Foto Fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) perlu membuat perancangan teliti sekiranya hendak melaksanakan syor mengubah kaedah pembelajaran pelajar Tingkatan Empat dan Lima kepada sistem semester seperti dilaksanakan untuk Tingkatan Enam dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata, untuk merealisasikan cadangan itu, pihak kementerian juga perlu merangka kaedah yang sesuai, selain perlu bekerjasama dengan agensi luar untuk memastikan aspek pengiktirafan boleh dicapai bagi apa-apa bentuk cadangan yang dikemukakan.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat pertimbangan namun ia tidak semestinya dalam bentuk semester kerana perlu melihat kaedah lain sekiranya berlaku keadaan seperti pandemik koronavirus (Covid-19).

“Kita ada pendekatan berbeza bagi membolehkan calon menghadapi sesuatu pentaksiran atau peperiksaan.

“Buat masa ini, kita belum boleh umumkan apa-apa kerana ia masih lagi di peringkat ground work,” katanya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Habibah berkata, cadangan sistem penggal itu juga tidak boleh dilaksanakan bagi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang dianjakkan ke 2021.

Jelasnya, ia disebabkan peperiksaan seperti SPM mendapat pengiktirafan oleh Cambridge, setara dengan A Level.

“Jadi buat masa ini, kita tidak boleh buat sebarang perubahan, jika tidak kita akan hilang pengiktirafan, malah boleh menjejaskan peluang calon SPM 2020 untuk meneruskan pengajian atau menceburi mana-mana bidang kerjaya pada masa depan,” katanya.

Artikel Berkaitan: