[DIKEMASKINI] Perkampungan persaraan pertama

Zuraida pada sidang media Malaysian Population Aging Forum yang diadakan secara maya pada Jumaat.
Zuraida pada sidang media Malaysian Population Aging Forum yang diadakan secara maya pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi anak syarikatnya, PRIMA merangka untuk membina model Perkampungan Persaraan yang mempunyai semua elemen asas yang diperlukan warga emas untuk hidup dalam persekitaran harmoni dengan dilengkapi kemudahan kesihatan mencukupi.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, PRIMA akan bekerjasama dengan rakan strategik membangunkan beberapa Perkampungan Persaraan di tanah yang sudah dimiliki PRIMA dalam masa terdekat.

“Buat masa ini, beberapa negeri dijangka menjadi lokasi perkampungan berkenaan kerana mempunyai persekitaran yang menarik dan memberikan ketenangan kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Malaysian Population Aging Forum secara maya pada Jumaat.

Zuraida berkata, KPKT menjangkakan Perkampungan Persaraan itu akan siap dalam tempoh dua tahun, namun disebabkan penularan pandemik Covid-19, ia akan mengambil masa selama tiga tahun.

Mengulas lanjut mengenai kos yang akan dikenakan kepada warga emas yang akan menduduki Perkampungan Persaraan tersebut, Zuraida berkata, kosnya adalah berpatutan.

Katanya, kos yang akan ditawarkan antara RM400 hingga RM600 bergantung kepada kemudahan yang mereka perlukan.

“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan membuat keputusan strategik dan bersiap sedia untuk penduduk berumur dan membina komuniti yang mesra usia agar mereka dapat menikmati tahun keemasan mereka dengan positif, bermakna, anggun dan bermaruah.

“KPKT berperanan besar dalam perbincangan ini. Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia tidak hanya boleh meramalkan perubahan demografi tetapi perubahan dasar yang signifikan juga diperlukan.

Artikel Berkaitan:

“Contoh yang baik adalah, sebelum PBT mempersetujui pembinaan bangunan, mereka harus memastikan bangunan itu dilengkapi kemudahan yang cukup untuk mereka yang kurang bergerak.

"Piawaian harus ditingkatkan dari sekarang dan seterusnya agar dasarnya kekal relevan bagi tempoh 25 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata, Jepun adalah negara Asia yang semakin tua iaitu kira-kira 25 peratus penduduk Jepun berusia 65 tahun ke atas dan akan meningkat kepada 40 peratus pada tahun 2060.

“Pergeseran demografi seperti itu melemahkan sistem pencen Jepun yang ditetapkan dan tenaga kerja yang tua melambatkan ekonomi Jepun.

“Kerajaan Jepun mengambil pendekatan pelbagai bidang untuk memenuhi keperluan penduduk dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Malaysia harus belajar dari negara-negara ini,” katanya.