Kerajaan mohon batal saman isu Agong tidak isytihar darurat

Pada 25 Oktober tahun lalu, Al-Sultan Abdullah bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini selepas mempercayai keupayaan kerajaan untuk membendung penularan pandemik Covid-19. - Foto Bernama
Pada 25 Oktober tahun lalu, Al-Sultan Abdullah bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini selepas mempercayai keupayaan kerajaan untuk membendung penularan pandemik Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan hari ini memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula seorang peguam berhubung keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tidak bertindak atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat tahun lalu.

Kerajaan memfailkan permohonan itu menerusi Peguam Persekutuan bagi memohon perintah bahawa saman pemula yang difailkan Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar, selaku plaintif, pada 30 Oktober tahun lalu dibatalkan mengikut Aturan 18 Kaedah 19(1)(b) atau (d) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan segala prosiding berhubung saman itu digantung sehingga pendengaran dan pelupusan permohonan itu.

Permohonan itu juga dibuat atas alasan bahawa saman pemula peguam terbabit adalah mengaibkan, remeh atau menyusahkan dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Peguam Cara Negara, Datuk Abdul Razak Musa, menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama permohonan itu berkata, plaintif gagal mengenal pasti dalam permohonan berkenaan bahawa hak umum atau persendiriannya yang telah diingkari susulan keputusan itu, atau kerugian yang dialaminya secara peribadi akibat keputusan itu.

Katanya, saman plaintif tidak mengandungi sebarang relief yang akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak dan hanya mengandungi persoalan umum dan akademik yang akan menjadikan pendengaran kes itu sia-sia serta membazirkan masa mahkamah.

"Peruntukan Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas dan nyata mengecualikan bidang kuasa mahkamah ini untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan untuk mempertikaikan atau mencabar apa-apa keputusan Al-Sultan Abdullah mengenai pengisytiharan darurat.

"Penentuan soalan-soalan (yang dibangkitkan dalam saman) itu tidak akan membawa apa-apa kesan ke atas keputusan berkenaan (keputusan Al-Sultan Abdullah untuk tidak menerima nasihat awal Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat)," katanya.

Syed Iskandar memfailkan saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia, selaku defendan, yang antara lain memohon mahkamah memutuskan sama ada berdasarkan Perkara 40 dan 150 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk tidak mengisytiharkan darurat walaupun Perdana Menteri atau Kabinet menasihatkan sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

Plaintif juga memohon mahkamah memutuskan sama ada Akta A514 yang meminda Perkara 150 dengan menambah Fasal (8) dan (9) melanggar Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah terbatal serta tidak sah.

Pada 25 Oktober tahun lalu, Al-Sultan Abdullah bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini selepas mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar serta tindakan penguatkuasaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam saman kerajaan berhubung darurat