X

Kindly register in order to view this article
!

Operasi kedai makan dibenar sehingga jam 10 malam

Semua kedai makan dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi hingga 10 malam.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh operasi semua jenis premis menjual makanan dan perkhidmatan penghantaran makanan di negeri-negeri yang tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sehingga jam 10 malam bermula Jumaat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mendengar keluhan dan rungutan pembeli dan peniaga selepas dibenar beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam sahaja ketika ini.

“Seperti saya katakan kerajaan sentiasa mendengar pandangan rakyat. Kita sedar apabila rungutan banyak berlaku maka kita segera adakan mesyuarat sejak minggu lepas lagi tentang perkara ini,” katanya pada sidang media khas perkembangan PKP di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, prosedur operasi standard (SOP) masih kekal - tidak dibenarkan makan di premis makanan, hanya pembungkusan, penghantaran dan pandu lalu dibenarkan.

“Makan di kedai masih tak dibenarkan, ia masih kekal untuk dibawa pulang dan pesanan untuk penghantaran makanan juga kita buka sampai 10 malam,” katanya.

Mengenai pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dilaporkan positif Covid-19, Ismail Sabri berkata, kerajaan setakat ini kekal dengan keputusan hanya pelajar bergejala perlu melakukan ujian saringan sebelum mereka pulang ke asrama atau menduduki peperiksaan.

“Kita tidak mahu membebankan ibu bapa dari segi kos untuk menanggung ujian tersebut dan arahan Kementerian Kesihatan (KKM) juga jelas hanya tumpu kepada pelajar yang bergejala, yang sihat tidak perlu ujian saringan.

“Bagaimanapun, oleh kerana ada kes seperti ini, saya akan rujuk perkara ini kepada KKM untuk keputusannya,” kata beliau.

Media melaporkan sekumpulan pelajar yang bakal menduduki SPM dan STPM di Sabah dan Pahang didapati positif Covid-19 dan mereka telah dikuarantin.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak pernah mengeluarkan arahan mewajibkan mana-mana pekerja termasuk di kedai runcit untuk memakai sarung tangan dalam penguatkuasaan SOP bagi mencegah penularan Covid-19 seperti yang tular di media sosial semalam.

Katanya selepas penyebaran video tersebut, beliau terus bertanya kepada pihak tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kejadian itu.

“Apabila saya berbincang dengan pihak tertinggi PDRM, memang tiada arahan dikeluarkan mana-mana balai supaya tindakan diambil kepada mereka yang tidak memakai sarung tangan,” katanya.

Semalam, tular di laman sosial Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali melaksanakan operasi penguatkuasaan SOP mencegah Covid-19 di daerah berkenaan dengan turut dipaparkan seorang pekerja wanita sebuah premis dikenakan saman ketika operasi itu. - Bernama

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan)

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Posted by Sinar Harian on Wednesday, January 20, 2021


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!