Kerajaan umum dua rangka kerja kewangan tahun depan

Lim Guan Eng. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengumumkan dua rangka kerja penting pada suku pertama 2019 berkaitan pengawalseliaan mata wang kripto dan pendanaan awam hartanah yang akan dilaksanakan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Kementerian Kewangan (MoF) akan bertindak sebagai badan penyelaras bagi SC dan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung rangka kerja mata wang kripto.

“Pengawalseliaan bagi aset digital, atau bursa mata wang kripto, dan tawaran syiling permulaan akan dikuatkuasakan pada suku pertama 2019 sebagai sebahagian usaha SC untuk memudahkan pendekatan pengumpulan dana alternatif dan kelas aset pelaburan baharu.

“Walaupun pada masa sama beberapa pihak mungkin masih skeptikal terhadap perkara ini, namun tanpa diragui lagi bahawa kita memerlukan pengawalseliaan yang wajar untuk dilaksanakan serta dikuatkuasakan bertujuan melindungi kepentingan pelabur,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Kerjasama Sinergistik oleh Persidangan Fintech SC 2018 di sini, hari ini.

Guang Eng berkata mana-mana pihak yang berminat, termasuk mata wang kripto Harapan Coin yang dicadangkan, perlu dijalankan berdasarkan rangka kerja itu yang disediakan secara bersama BNM dan SC.

“MoF akan mengetuai jawatankuasa berkenaan, yang turut terdiri daripada BNM dan SC. Jadi, pihak yang berminat boleh menghubungi badan penyelarasan ini yang diterajui MoF dan memastikan pihak ini melaksanakan pematuhan penuh.

“Kita mahu menggalakkan dan pada masa sama kita juga mahukan pematuhan terhadap undang-undang untuk memastikan pelabur jelas mengetahui mengenainya (mata wang kripto),” katanya.

Guan Eng turut berkata rangka kerja platform pendanaan awam hartanah pula akan berperanan sebagai sumber alternatif bagi pembiayaan rumah pertama pembeli, sekali gus menjadi yang pertama seumpamanya di dunia.

“Ini adalah kerangka kerja dan pilihan tambahan yang diberikan oleh syarikat pelabur swasta kepada peminjam, selain daripada sumber lama seperti bank dan institusi kewangan. Kerangka kerja baharu ini masih dalam pertimbangan pelaksanaan oleh SC,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata suruhanjaya itu sedang meminda garis panduan berkaitan rangka kerja tersebut untuk memastikan mereka dapat memenuhi keperluan digital baharu.

“Bagi pendanaan awam hartanah, kami telah menyiapkan draf pertama dan akan bekerjasama dengan pihak industri untuk mendapatkan pandangan (berhubung draf tersebut). Kami tidak akan mengumumkan apa-apa buat masa ini, dan akan meneruskan ke peringkat seterusnya daripada fasa itu (selepas perundingan),” katanya. – Bernama