Batal cuti Thaipusam bukan nafi hak, kata Muhammad Sanusi

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Keputusan kerajaan negeri Kedah tidak mengumumkan cuti peristiwa sempena perayaan Thaipusam pada 28 Januari, bukan berniat menafikan hak penganut Hindu di negeri ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penganut agama berkenaan masih boleh menyambut perayaan itu di mana sahaja dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 yang ditetapkan.

Menurutnya, semua orang sedang ‘dicutikan’ akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia bukan hanya melibatkan negeri Kedah sebaliknya seluruh negara.

“Keputusan Kedah itu tiada kaitan untuk mengetepikan hak sesiapa pun di negeri ini. Apatah lagi untuk menafikan hak penganut Hindu menyambut Thaipusam. Thaipusam dijadikan cuti peristiwa sejak dua tahun terakhir, ia bukan cuti umum rasmi negeri Kedah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika mengulas dakwaan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang menyifatkan keputusan kerajaan Kedah pimpinan Pas membatalkan cuti umum Thaipusam di negeri itu sebagai keputusan berat sebelah.

Menurutnya, walaupun akur cuti Thaipusam adalah hak prerogatif negeri, namun keputusan tersebut menunjukkan keangkuhan pemerintah Kedah.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, MIC tidak perlu menjadikan semua isu sebagai modal politik pada saat kita berdepan isu lebih besar, iaitu pandemik Covid-19.

“Kita belum pasti bila pandemik ini akan diatasi. Kita ada PKP dan Ordinan Darurat yang sedang berkuat kuasa. Apa-apa perayaan boleh disambut dengan mematuhi SOP dan dalam suasana serba sederhana,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sepatutnya MIC tidak mempolitikkan isu keselamatan dan nyawa seluruh rakyat Malaysia.

“Jika beberapa orang dalam MIC mahu cuti umum sempena Thaipusam, mereka boleh melobi kerajaan Persekutuan mengumumkan cuti umum untuk seluruh negara. Kedah sudah ada keputusan berkaitan hal ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan Kedah membatalkan cuti Thaipusam dianggap berat sebelah

Muhammad Sanusi berkata, ketika tiada cuti peristiwa untuk Thaipusam di Kedah sejak sebelum Merdeka, ia tetap disambut dengan meriah di negeri ini.

Menurutnya, terdapat hari cuti umum yang tidak diberikan cuti peristiwa di Kedah, dan berbeza dengan negeri lain.

“Terdapat 6.8 peratus masyarakat India di Kedah, sebahagiannya Hindu, Muslim atau Kristian. MIC ni pejuang apa, India atau Hindu? Saya sudah adakan pertemuan dengan tiga kumpulan masyarakat India mewakili penganut Hindu minggu lepas, saya sudah maklumkan tentang Thaipusam tidak akan dijadikan cuti peristiwa susulan pandemik Covid-19,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, ia adalah tindakan wajar kerana kita berhadapan dengan PKP serta peningkatan kes mendadak.

“Seluruh rakyat dan sektor ‘dicutikan’ oleh Covid-19. Cuti peristiwa adalah terhad, kuotanya patut dipertimbangkan untuk peristiwa yang lebih besar untuk seluruh rakyat Kedah, bukan untuk kaum dan agama tertentu sahaja,” katanya.

Menurutnya, di Malaysia, hari Thaipusam merupakan cuti umum di beberapa buah negeri seperti di Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Pulau Pinang.

Pada 20 Januari 2008, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bercuti umum sempena Thaipusam.

Negeri Pahang, Perlis, Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Melaka belum menjadikan Thaipusam sebagai cuti umum, manakala Kedah menjadikan Thaipusam sebagai cuti peristiwa.