Unsur-unsur rasuah harus dibasmi tanpa kompromi

Jufitri Joha
Jufitri Joha
A
A
A

SHAH ALAM - Unsur-Unsur rasuah harus dibasmi habis-habisan tanpa kompromi oleh semua pihak terutamanya dalam kalangan pemimpin-pemimpin belia.

Menurut Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha, ini kerana rasuah merupakan ibu segala jenayah, punca kerosakan negara dan pemusnah masa hadapan generasi pewaris.

“Pemimpin belia harus membasmi rasuah kerana mereka dipersiapkan untuk menjadi pemimpin negara berakhlak dan beretika pada masa depan dan masa depan tersebut sudah pun tiba sekarang untuk menggantikan pemimpin-pemimpin yang sedia ada,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook MBM pada Rabu.

Kata Jufitri, jihad melawan rasuah yang disemboyankan oleh Sinar Harian melalui Datuk Hussamuddin Yaacub wajib disambut oleh pemimpin belia di seluruh Malaysia dan di semua peringkat.

Tambahnya, usaha Sinar Rasuah Busters atau Pemburu Rasuah merupakan usaha keprihatinan yang perlu didukung oleh semua pihak sebagai mata rantai jihad berterusan melawan rasuah.

Dalam pada itu ujar Jufitri, MBM yang turut menduduki kerusi semasa Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) akan terus konsisten membasmi rasuah tanpa putus asa dengan pelbagai pihak termasuk pihak media seperti Sinar Harian dan rakan strategik seperti Malaysia Corruption Watch - MCW dan Transparency International (TI) Malaysia.

“Justeru, MBM menyeru semua pemimpin belia dan pemimpin mahasiswa menyambutnya dengan slogan dan gerak kerja Belia Benci Rasuah. Jadilah Pemburu Rasuah yang sentiasa konsisten melawan rasuah,” katanya

ARTIKEL BERKAITAN: Jihad untuk menghapuskan rasuah

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Gerakan Belia 4B, Mohd Nizam Omar berkata, rasuah seharusnya dibasmi habis-habisan oleh para pemimpin belia tanpa kompromi.

Menurutnya, pemimpin belia perlu dipersiapkan untuk menjadi pemerintah negara yang berakhlak dan beretika pada masa hadapan.

“Belia 4B menyambut baik kenyataan media Majlis Belia Malaysia (MBM) berkaitan Sinar Rasuah Buster disambut dengan Belia Benci Rasuah yang disemboyankan oleh Sinar Harian melalui Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

“Perkara ini juga wajib disambut oleh para pemimpin belia di seluruh Malaysia dan di semua peringkat sebagaimana yang dinyatakan oleh MBM,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.

Dalam kenyataan sama, Nizam berkata, rasuah merupakan ibu segala racun jenayah yang mana menyebabkan kerosakan identiti dan integriti dalam melestarikan sesebuah negara.

Tambahnya, isu rasuah dan korupsi perlu dibanteras dengan lebih berkesan agar negara sentiasa berintegriti.