X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD di Kampung Orang Asli Batu 6, Batang Padang mulai esok

Ismail Sabri - Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kampung Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang di Batang Padang, Perak akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok (Khamis) hingga 3 Februari ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata langkah itu dibuat selepas pihak berkuasa mengesan 12 kes positif Covid-19 di kampung berkenaan selain 87 kontak rapat sedang dikuarantin ketika ini.

“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan mengawal pergerakan penduduk serta memudahkan Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan bersasar Covid-19 di lokaliti itu yang melibatkan 494 penduduk,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata hingga semalam, seramai 178,370 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 6,677 majikan, dengan 3,520 daripada mereka disahkan positif Covid-19.

Ini susulan arahan kerajaan agar semua pekerja asing khususnya di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan menjalani ujian saringan Covid-19 dengan kos ujian saringan ditanggung oleh majikan masing- masing.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata seramai 752 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP pada Selasa dan daripada jumlah itu 718 individu dikompaun manakala 34 lagi direman.

Kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (277), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (137), tiada penjarakkan fizikal (128), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (73), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (39) dan lain-lain (98).

Menerusi Op Benteng pula, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata seramai 57 orang pendatang tanpa izin telah ditangkap dan 10 buah kenderaan darat dirampas semalam.

Semalam, seramai 558 individu tiba di pintu masuk antarabangsa negara dan daripada jumlah itu, 517 individu dikuarantin di 28 stesen kuarantin di seluruh negara. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!