X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 18,000 hektar ladang getah diserang 'penyakit'

Lebih 18,000 hektar ladang getah di seluruh negara telah diserang penyakit pestalotiopsis.
A
A

PUTRAJAYA - Seluas 18,812.98 hektar ladang getah di seluruh negara telah diserang penyakit pestalotiopsis.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, penyakit luruhan daun itu dikesan sejak tahun 2018 oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM).

"Penyakit ini meliputi hampir seluruh negara kecuali Pulau Pinang, Perlis dan Sabah," katanya.

Menurutnya, LGM bagaimanapun telah mengambil langkah proaktif untuk memulakan usaha-usaha bagi mengawal penyakit itu daripada merebak.

"Antaranya ialah seperti membuat rawatan semburan racun kulat kepada daun pokok getah yang dijangkiti dan memberikan khidmat nasihat kepada pekebun kecil bagi mengawal dan menghapuskan jangkitan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, racun kulat dengan bahan kandungan aktif seperti propiconazole, benomyl, chlorothalonil, mancozeb dan propineb didapati berkemampuan untuk merencatkan pertumbuhan kulat pestalotiopsis.

"Bahan aktif propiconazole (racun sistemik) yang berada di pasaran boleh merencatkan pertumbuhan kulat dengan ketara," katanya.

Mohd Khairuddin berkata, sebuah jawatankuasa Pestalotiopsis Peringkat Kebangsaan juga telah ditubuhkan tahun lepas untuk menyelaras tindakan secara menyeluruh bagi kawalan penyakit serta membincangkan isu-isu dan permasalahan berkaitan penyakit tersebut.

"Jawatankuasa ini dianggotai oleh KPPK, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Jabatan Pertanian, LGM, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Jabatan Pertanian Sarawak, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Kimia Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Persatuan Pemilik Estet Malaysia (MEOA), Felda, Felcra, Sime Darby Plantation dan Applied Agricultural Resources (AAR) Sdn Bhd," katanya.

Tambah beliau, kementerian melalui LGM dengan kerjasama agensi berkaitan akan terus berusaha bagi mengawal penularan penyakit tersebut.

"Para pekebun boleh menghubungi pejabat LGM terdekat atau mengajukan sebarang pertanyaan kepada [email protected]," katanya.

Terdahulu, beliau berkata, pokok getah yang diserang penyakit itu akan mengalami luruhan daun yang ketara dan tidak mengikut musim selain terdapat tompok berwarna coklat pada daun.

"Kesan penyakit juga menyebabkan pengeluaran lateks berkurangan.

"Bukan hanya di Malaysia, penyakit itu turut menyerang pokok getah di negara-negara pengeluar getah lain seperti Indonesia 387,000 hektar, selain Thailand (122,530), Sri Lanka (20,000) dan India (300)," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!