Tadika Perpaduan ditutup sepanjang tempoh PKP 2.0

Semua Tabika Perpaduan di seluruh negara ditutup sepanjang tempoh PKP 2.0 susulan trend harian kes jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat kebelakangan ini.
Semua Tabika Perpaduan di seluruh negara ditutup sepanjang tempoh PKP 2.0 susulan trend harian kes jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat kebelakangan ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua Tabika Perpaduan di seluruh negara ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 susulan trend harian kes jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan penutupan itu mengambil kira pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) Sabtu lalu serta keputusan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada Selasa.

Susulan itu, katanya, bermula esok (Rabu) semua murid Tabika Perpaduan Tahun 2021 akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menggunakan medium komunikasi secara dalam talian.

"Langkah tersebut bertujuan membantu mencegah penularan wabak Covid-19 di samping memastikan sesi pembelajaran pendidikan awal kanak-kanak dapat diteruskan," menurut kenyataan kementerian itu pada Selasa.

KPM sebelum ini mengumumkan hanya pelajar yang menduduki peperiksaan utama bagi 2020 dibenarkan hadir ke sekolah bermula esok manakala pelajar sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR mengikut kesesuaian guru dan murid mulai esok (Rabu).

KEMAS semalam mengumumkan sesi persekolahan Tabika Kemas secara bersemuka di seluruh negara yang sepatutnya bermula esok ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, dan akan digantikan dengan kaedah pembelajaran secara Home-base Learning (pembelajaran di rumah).

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula 13 Januari hingga 26 Januari ini.

PKP bermula 16 Januari hingga 29 Januari pula melibatkan Kelantan dan Sibu, Sarawak.

Artikel Berkaitan:

PKP juga dilaksanakan di Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan selama 14 hari bermula hari ini (Selasa) berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di kawasan itu. - Bernama