Lima sekeluarga termasuk bayi sembilan bulan maut

Mangsa dalam perjalanan balik ke rumah di Durian Mas, Manir selepas menghadiri kenduri perkahwinan di Kota Bharu, Kelantan.
Mangsa dalam perjalanan balik ke rumah di Durian Mas, Manir selepas menghadiri kenduri perkahwinan di Kota Bharu, Kelantan.
A
A
A

KUALA NERUS - Bayi perempuan berusia sembilan bulan antara lima sekeluarga yang maut selepas kereta dinaiki terbabas dalam kemalangan di Pengkalan Atap, Batu Rakit, hari ini.

Dalam kemalangan kira kira jam 2.50 pagi itu, Mohd Kharulinzam Jusoh, 38, dan isteri, Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21, serta bayi perempuan mereka, Nur Khaira Aisyah berusia sembilan bulan meninggal dunia.

Dua lagi yang maut dalam tragedi berkenaan adalah ibu dan adik kepada Nur Syaazlien, Rozilawati Mustafa@Razali, 43 dan Muhammad Nashrullah, 5.

Sementara itu, seorang lagi anak pasangan suami isteri terbabit, Muhammad Khairul Haziq, 5, dilaporkan mengalami kecederaan parah dan masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Difahamkan keluarga terbabit dalam perjalanan balik ke rumah mereka di Kampung Durian Mas, Manir selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kota Bharu, Kelantan.

Bagaimanapun, kereta Proton Wira yang dinaiki enam mangsa itu dikatakan hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh pokok.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Pegawai Bomba Tinggi Yusmizan Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 3.01 pagi.

Menurutnya, dengan menggunakan dua jentera dari BBP Kuala Nerus dan Kuala Terengganu bersama 12 anggota pasukan bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

“Sebaik tiba di lokasi, seorang daripada mangsa sudah berada di luar kenderaan, manakala lima lagi masih tersepit. Kita mengambil masa kira 15 minit untuk mengeluarkan semua mangsa.

“Ketika itu, terdapat dua mangsa yang parah yang kemudiannya dikejarkan ke hospital,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Rozilawati disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSNZ.