Twitter susun pelan peralihan akaun Rumah Putih

No Image Caption
A
A
A

MOSCOW - Twitter sudah menyusun pelan peralihan akaun institusi sedia ada Rumah Putih untuk pentadbiran presiden baharu Amerika Syarikat, Joe Biden, lapor Agensi Berita Sputnik.

Platform media sosial itu menjelaskan pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan Amerika Syarikat (AS) bagi menyusun arkib dan peralihan akaun Twitter merangkumi penyelarasan seluruh pentadbiran.

"Memandangkan bakal Presiden Biden akan mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari 2021, Twitter akan memudahkan pemindahan akaun Twitter Rumah Putih termasuk akaun @WhiteHouse, @POTUS, @VP, @FLOTUS dan @PressSec," menurut Twitter.

Akaun rasmi bakal Presiden Biden akan dikenali akaun POTUS (Presiden Amerika Syarikat), akaun peralihan Presiden Biden-Harris menjadi akaun Rumah Putih. Penyelarasan turut membabitkan akaun Naib Presiden, Wanita Pertama dan Setiausaha Akhbar.

Suami Naib Presiden Kamala Harris, Doug Emhoff, akan menggunakan akaun baharu @SecondGentleman.

Tweet pentadbiran Presiden Donald Trump akan dipindahkan ke Pentadbiran Arkib dan Rekod Negara menggunakan pengendali baharu menerusi akaun @POTUS45 sama seperti akaun rasmi bekas Presiden Barack Obama menggunakan @POTUS44.

Akaun baharu tidak mengekalkan pengikut akaun sebelum ini, tetapi pemberitahuan akan dihantar untuk memaklumkan pengguna mengenai perubahan itu, jelas Twitter. - Bernama

Artikel Berkaitan: